KUALA LUMPUR: Institusi Parlimen perlu dilibatkan secara lebih strategik dan berterusan dalam agenda ASEAN bagi memastikan setiap komitmen serantau dapat diterjemahkan kepada perundangan yang membawa manfaat nyata kepada rakyat.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kenyataan hari ini memaklumkan seruan itu disampaikan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul ketika mewakili Parlimen Malaysia pada “The 15th ASEAN-AIPA Leaders’ Interface” sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, yang menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN serta pemimpin institusi Parlimen serantau.
Malaysia pada sesi berkenaan diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak eksekutif, manakala Johari mewakili institusi Parlimen Malaysia.
Dalam intervensinya, Johari menekankan bahawa Parlimen bukan sekadar institusi penggubalan undang-undang, bahkan wadah pembentukan pemimpin masa hadapan.
Menurut kenyataan itu, Johari mengetengahkan kelulusan Undi18 secara rentas parti oleh Parlimen Malaysia pada 2019 sebagai contoh bagaimana institusi itu berperanan memperkasa penyertaan generasi muda dalam demokrasi, sekali gus menjadi pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara.
Mengimbau legasi kepengerusian ASEAN dan kepresidenan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) oleh Malaysia pada 2025, Johari turut menzahirkan penghargaan terhadap semangat kebersamaan serantau yang menyaksikan penerimaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.
Johari kini mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Perhimpunan Agung AIPA ke-47 yang berlangsung dari 14 hingga 21 Nov di Manila, bertemakan “Parliaments Securing a Peaceful, Prosperous, and People-Centered ASEAN”.
Penyertaan Malaysia kali ini menyusuli kejayaan penganjuran Perhimpunan Agung AIPA ke-46 di Kuala Lumpur pada September tahun lepas, yang menyaksikan Malaysia menyerahkan kepresidenan AIPA kepada Filipina.
-- BERNAMA