PASUKAN operasi meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat susulan kejadian tanah runtuh yang melanda perkampungan Norway dan tidak menemui mangsa lain yang tertimbus di sebalik timbunan tanah dan sisa kediaman berkenaan.

Setakat ini, menurut pihak polis enam mangsa ditemui dalam operasi itu.

Empat mangsa ditemui maut pada Jumaat dan Sabtu manakala dua lagi pada Ahad.

Operasi tersebut turut menggunakan khidmat anjing pengesan dan penggunaan dron dengan pengesan suhu badan untuk mencari mangsa di perkampungan Ask, kira-kira 25 kilometer di timur laut Oslo.

Sekurang-kurangnya 1,000 penduduk yang terjejas sudah dipindahkan dan lebih ramai dilaporkan akan dipaksa berpindah.

Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Rabu lalu, keseluruhan lereng bukit berdekatan kawasan kediaman tiba-tiba runtuh, sekali gus menyebabkan deretan rumah diselaputi lumpur.

Lebih menggerunkan apabila beberapa kediaman terbelah dua dan tergantung akibat rekahan tanah yang berlaku ketika runtuhan.