Ringkasan AI
- Malaysia dan Laos menyasarkan perdagangan dua hala mencecah US$100 juta menjelang 2028, dengan tumpuan kepada pengangkutan rel dan pelabuhan.
- Kedua-dua negara membincangkan kerjasama dalam tenaga hijau, pelaburan hidrokuasa, perlombongan, pertanian, logistik serta mengatasi kekangan logistik sedia ada.
- Perdagangan dua hala meningkat 157.8 peratus pada 2025 kepada RM258.4 juta, dengan pelaburan utama Malaysia termasuk Projek Kuasa Hidro Don Sahong.
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Laos menyasarkan peningkatan perdagangan dua hala kepada US$100 juta menjelang 2028, dengan hubungan pengangkutan rel dan pelabuhan menjadi antara agenda utama rundingan dua hala di sini pada Isnin.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos Thongsavan Phomvihane membincangkan langkah mengatasi kekangan logistik serta memperluas pelaburan Malaysia dalam sektor hidrokuasa, perlombongan, pertanian dan logistik.
"Perbincangan merangkumi koridor rel menuju ke China, hubungan antara pelabuhan darat dengan pelabuhan laut Malaysia, cadangan kabel dasar laut serta usaha bersama untuk menangani kekangan logistik sedia ada," menurut Kementerian Luar, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, menerusi hantaran di Facebook.
Kementerian itu memaklumkan bahawa kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama tenaga hijau rentas sempadan menerusi Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP).
Kedua-dua negara juga sedang menyediakan agenda bagi Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) keempat yang akan dihoskan Laos pada 2027.
"Tumpuan kekal kepada usaha menterjemahkan libat urus diplomatik kepada rangkaian serantau yang lebih kukuh serta hasil nyata demi manfaat bersama kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.
Thongsavan tiba di sini pada Ahad untuk lawatan rasmi selama tiga hari, sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik antara Laos dan Malaysia.
Pada 2025, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Laos meningkat 157.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM258.4 juta (US$60.7 juta).
Eksport Malaysia ke Laos berjumlah RM77.7 juta (US$18.2 juta), manakala import dari Laos mencecah RM180.7 juta (US$42.6 juta).
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, perdagangan dua hala meningkat 28.7 peratus berbanding tempoh sama pada 2025 kepada RM225.3 juta (US$55.9 juta).
Pelaburan Malaysia di Laos termasuk Projek Kuasa Hidro Don Sahong berkapasiti 260 megawatt di Champasak, yang merupakan pelaburan tenaga bersih terbesar Malaysia di negara itu.
-- BERNAMA