Skip to main content

Dunia

Indonesia: Pencarian 32 pekerja hilang dalam kebakaran kilang gula-gula diteruskan

Pemandangan udara yang dirakam menggunakan dron menunjukkan keadaan sebuah kilang gula-gula yang musnah akibat kebakaran di Serang, Wilayah Banten, 23 Nov 2026. (Foto AP)
Pemandangan udara yang dirakam menggunakan dron menunjukkan keadaan sebuah kilang gula-gula yang musnah akibat kebakaran di Serang, Wilayah Banten, 23 Nov 2026. (Foto AP)
Advertisement

JAKARTA: Seramai 32 pekerja masih hilang ketika pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa di sebuah kilang gula-gula yang musnah akibat kebakaran berhampiran ibu negara Indonesia pada Isnin, menurut pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Al Amrad berkata kebakaran pada Sabtu itu memusnahkan keseluruhan bangunan berkenaan dan mengorbankan sejumlah mangsa yang masih belum dapat dipastikan.

Beliau berkata sebanyak 24 beg mayat ditemukan di kawasan runtuhan, namun kebanyakannya mengandungi anggota badan mangsa yang ditemukan di bawah timbunan runtuhan.

Advertisement

Polis memaklumkan bahawa keadaan anggota badan yang ditemukan menyebabkan proses pengecaman secara visual tidak dapat dilakukan.

Menurut polis, pakar berada di lokasi kejadian untuk menjalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) dan perbandingan cap jari, sambil menambah bahawa proses memadankan anggota badan yang ditemukan dan mengenal pasti identiti mangsa yang terkorban mungkin mengambil masa beberapa minggu.

Advertisement

Menurut pihak berkuasa, seramai 29 individu terselamat dalam kebakaran itu.

Hampir 600 anggota daripada pelbagai perkhidmatan kecemasan dan agensi kerajaan dikerahkan untuk menjalankan operasi mencari mangsa di kilang PT Fonusa Agung Mulia di daerah Serang, barat Jakarta, susulan kebakaran berkenaan.

Kebakaran itu bermula pada Sabtu dan anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk mengawalnya. Api akhirnya berjaya dipadamkan pada pagi Ahad, menurut polis.

Siasatan mengenai punca kebakaran masih dijalankan. Menurut jurucakap kerajaan, kebakaran itu mungkin berpunca daripada litar pintas pada unit penyaman udara di tingkat dua.

Beliau berkata ramai individu tidak dapat mencari laluan keluar untuk menyelamatkan diri dan terperangkap dalam kebakaran itu, sambil menambah bahawa syarikat berkenaan mungkin tidak mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Amrad berkata operasi mencari dan mendapatkan semula mayat mangsa menjadi lebih sukar berikutan risiko kebakaran yang masih wujud serta kebimbangan bahawa sebahagian struktur bangunan yang rosak mungkin runtuh.

Kilang berkenaan menghasilkan gula-gula Milkita untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement