ENAM mangsa nahas helikopter di Pulau Kauai, Hawaii, Amerika Syarikat ditemukan terkorban.

Operasi menyelamat yang dijalankan pada Jumaat masih diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang.

Mangsa merupakan antara tujuh penumpang sebuah helikopter pelancong yang dilapor terhempas di Pulau Kauai.

BACA: Helikopter bawa 7 penumpang terhempas di Hawaii

Identiti mayat tidak didedahkan sehingga keluarga mangsa dimaklumkan mengenai kematian mereka.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Wilcox di Kauai.

Pasukan penyelamat menemukan bangkai helikopter tersebut di Pulau Kauai setelah pencarian dijalankan sejurus laporan kehilangannya dibuat pada jam 6.06 petang waktu tempatan.

Difahamkan, helikopter itu membawa enam pelancong mengelilingi Pantai Napali di Pulau Kauai sebelum dilanda hujan dan angin kencang.

Menurut pengawal keselamatan Pantai Honolulu, Robert Cox, keadaan cuaca pada Jumaat begitu mencabar dengan kelajuan angin kira-kira 45 kilometer sejam.

Tiada isyarat direkodkan daripada pengesan elektronik pesawat itu selepas ia hilang.