KUALA LUMPUR: Kagoshima, yang terletak di hujung selatan tanah besar Jepun, berhasrat memperkukuh hubungan dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk kerjasama ekonomi, pelancongan, kebudayaan, pendidikan serta hubungan sesama rakyat.
Gabenor Wilayah Kagoshima Koichi Shiota berkata tahun depan bakal menjadi detik penting berikutan sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan hubungan diplomatik antara Jepun dan Malaysia, yang dijangka membuka lebih banyak peluang pertukaran antara wilayah itu dengan Malaysia.
"Malaysia dan Kagoshima mungkin terpisah dari segi geografi, namun saya percaya kita berkongsi penghargaan terhadap tradisi, produk tempatan serta masyarakat yang memelihara dan mewariskannya kepada generasi akan datang," katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis resepsi anjuran Kedutaan Jepun di Malaysia dan Wilayah Kagoshima bagi memperkenalkan ramuan makanan dari wilayah berkenaan.
"Kagoshima sememangnya khazanah sebenar masakan Jepun, yang menawarkan antara produk makanan terbaik di negara itu.
"Produk Wagyu Kagoshima kami dinobatkan sebagai Juara Utama Wagyu Jepun pada Pameran Pertandingan Kebangsaan Wagyu sebanyak dua kali berturut-turut.
"Kami juga berbangga dengan ikan ‘yellowtail’ yang lazat dan diternak di perairan sekitar Kagoshima, teh wangi premium Kagoshima, ubi keledek serta shochu, minuman beralkohol tradisional Jepun yang berakar umbi dalam budaya tempatan kami," katanya.
Shiota turut menyatakan harapan agar penglibatan ekonomi dengan Malaysia dapat dipertingkatkan lagi.
"Jepun mengimport kira-kira 70 peratus urea iaitu antara bahan mentah utama yang digunakan dalam pengeluaran baja, dari Malaysia. Kami berharap bekalan dari negara anda dapat diteruskan secara stabil. Perkara ini juga penting bagi sektor pertanian di Kagoshima," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kagoshima berhasrat menarik pelaburan daripada syarikat Malaysia dalam sektor berkaitan makanan.
Potensi pelaburan syarikat dari Kagoshima di Malaysia pula melibatkan usaha membawa masuk bahan mentah dari wilayah itu untuk diproses di negara ini, katanya.
Sementara itu, Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata berkata kedua-dua negara menjalin hubungan erat menerusi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan pelbagai sektor lain, menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia tahun depan.
Beliau menegaskan bahawa makanan dan kebudayaan berperanan penting dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Dengan berkongsi makanan dan tradisi kulinari serta menghayati budaya antara satu sama lain, kita dapat memperdalam persefahaman bersama dan mengeratkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara," katanya dalam ucapan alu-aluan.
-- BERNAMA