Skip to main content

Dunia

Aktivis iklim potong kek hari jadi untuk Merz yang tidak hadir sidang kemuncak COP

Neubauer berkata mereka menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada Merz di Berlin, sambil berkata bahawa satu-satunya ucapan yang mampu mereka berikan ialah 'Selamat Hari Lahir tanpa Masa Depan yang Cerah'. - Foto Fridays for Future Deutschland
Neubauer berkata mereka menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada Merz di Berlin, sambil berkata bahawa satu-satunya ucapan yang mampu mereka berikan ialah 'Selamat Hari Lahir tanpa Masa Depan yang Cerah'. - Foto Fridays for Future Deutschland
Advertisement

ANTALYA (TURKIYE): Aktivis iklim Jerman memotong sepotong kek hari jadi pada Rabu untuk Canselor Friedrich Merz yang tidak menghadiri rundingan mengenai iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Bandar Antalya, Turkiye, sebagai tanda protes terhadap keputusannya untuk kekal di negara itu bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-71 bersama keluarga, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Friedrich Merz benar-benar mengecewakan kami dengan keputusannya untuk tidak hadir di sini dan bukan kami sahaja, malah masyarakat antarabangsa," kata aktivis gerakan Fridays for Future, Luisa Neubauer.

Beliau menegaskan bahawa Merz tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab itu.

Advertisement

"Beliau membuat keputusan sendiri, dengan penuh angkuh, untuk mewakili dan mentadbir negara kita. Keputusan itu membawa akibat, termasuk pada hari ulang tahun kelahirannya sendiri," katanya.

Seramai 11 aktivis duduk semeja di kawasan persidangan dengan belon dan sebiji kek yang disifatkan mereka sebagai "versi Turkiye bagi kek Black Forest", iaitu kek coklat dan ceri yang popular di Jerman.

Advertisement
Image
Sumber: IG Fridays for Future Deutschland
- Foto Fridays for Future Deutschland

Neubauer berkata mereka menyampaikan ucapan selamat hari lahir kepada Merz di Berlin, sambil berkata bahawa satu-satunya ucapan yang mampu mereka berikan ialah "Selamat Hari Lahir tanpa Masa Depan yang Cerah".

"Kami juga ingin berpeluang meraikan ulang tahun kelahiran kami yang ke-71 suatu hari nanti dalam keadaan planet yang stabil," kata aktivis itu.

Selepas memotong sepotong kek, beliau berkata: "Sepotong ini sepatutnya untuk Friedrich Merz juga, tetapi malangnya."

Canselor itu sebelum ini berkata beliau merancang untuk mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet pada Rabu, iaitu pada hari ulang tahun kelahirannya, sebelum menikmati "hidangan yang menyelerakan di restoran Itali" bersama isteri dan anak perempuannya.

Rabu lepas, jurucakap kerajaan memberikan jawapan yang tidak jelas berhubung ketidakhadiran Merz di Antalya, dengan menyatakan bahawa sentiasa terdapat "kepentingan berbeza dan pertindihan jadual".

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement