LONDON: Britain, Perancis, Australia, New Zealand, Kanada dan Norway bersetuju untuk mengenakan sekatan secara terselaras berhubung keganasan oleh peneroka haram terhadap warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
Pejabat Luar Britain dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Britain akan mengenakan sekatan ke atas enam entiti dan seorang individu yang dituduh membiayai, memudah cara atau melakukan keganasan sedemikian.
Perancis, Kanada dan Norway turut mengumumkan sekatan baharu bersama-sama Britain pada Selasa, manakala Australia dan New Zealand telah mendedahkan langkah terselaras itu pada minggu lepas, lapor Xinhua.
Sekatan terbaharu Britain menyasarkan rangkaian yang terlibat dalam menyediakan dana, sokongan logistik dan sumber lain kepada ladang serta pos pengawal peneroka haram di Tebing Barat.
Antara yang disenaraikan termasuk Farms Association yang menurut Kerajaan Britain, menyediakan sokongan kewangan dan organisasi kepada ladang serta pos pengawal terbabit, selain Ahavat Gilad yang didakwa menyalurkan sumbangan kepada beberapa pos pengawal berkenaan.
Turut tersenarai ialah Ari Yshag yang didakwa mengumpul dana untuk pos pengawal yang dikaitkan dengan keganasan dan intimidasi, serta Artzenu dan Shivat Zion Lerigvey Admata. Menurut Kerajaan Britain, dua entiti terakhir itu terlibat dalam membiayai dan membekalkan sumber kepada ladang serta pos peneroka penduduk haram.
Entiti serta individu yang disasarkan bakal berdepan sekatan pembekuan aset, larangan perjalanan dan kehilangan kelayakan sebagai pengarah syarikat.
Kerajaan Britain juga menyatakan bahawa buat kali pertama, panduan rasmi perniagaan luar negaranya akan menasihati syarikat-syarikat secara jelas agar tidak melakukan aktiviti ekonomi dan kewangan di petempatan haram.
Setiausaha Luar Britain Yvette Cooper berkata peluasan petempatan dan keganasan adalah menyalahi undang-undang, selain menjadi ancaman besar kepada daya maju penyelesaian dua negara serta keamanan dan keselamatan jangka panjang bagi penduduk Palestin dan Israel.
Britain turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak 1 juta paun (kira-kira US$1.35 juta) untuk tindakan periuk api kemanusiaan di Gaza, sebagai tambahan kepada 4 juta paun (US$5.36 million) yang telah disalurkan sebelum ini, serta sekurang-kurangnya 10 juta paun (US$13.5 juta) sokongan kewangan dan teknikal kepada Pihak Berkuasa Palestin pada 2026.
--BERNAMA-XINHUA