BUKIT KATIL: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila firma penyelidikan ILHAM Centre mengunjurkan gabungan itu mendahului persaingan di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut dapatan kajian badan penyelidikan itu yang disiarkan hari ini, kadar perpindahan undi penyokong PN kepada BN mencecah 91 peratus, manakala 78 peratus penyokong BN bersedia memberikan undi kepada PN.
ILHAM Centre melaporkan konsolidasi itu sekali gus memberi kelebihan kepada BN-PN di 23 kerusi DUN yang mempunyai komposisi sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi Melayu, selain disokong kekuatan jentera akar umbi UMNO dan PAS.
Badan penyelidikan itu turut mendapati tahap penerimaan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berada pada 86 peratus, manakala pentadbiran kerajaan negeri mencatatkan 85 peratus.
Menurut kajian itu, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dikenal pasti antara faktor yang memperkukuh sokongan pengundi terhadap pentadbiran negeri.
Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal membina naratif kempen yang kuat untuk mencabar BN–PN, meskipun masih mengekalkan sokongan teras khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu dan kawasan bandar.
Bagi pengundi muda bawah 30 tahun, dapatan kajian menunjukkan seramai 21 peratus masih belum membuat keputusan ketika tinjauan dijalankan, dengan ILHAM Centre menjangkakan kelompok itu berpotensi cenderung kepada gelombang BN-PN.
Dalam unjurannya, ILHAM Centre meletakkan PH pada kedudukan selesa di dua kerusi tradisi iaitu Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala persaingan di Ayer Keroh serta Kesidang dikategorikan sebagai sengit.
Kajian itu turut mendapati kerjasama melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan BERSATU gagal diterjemahkan kepada penyatuan sokongan pengundi, berbeza dengan keberkesanan kerjasama BN–PN.
Kajian lapangan ILHAM Centre dijalankan dari 1 hingga 12 November membabitkan 805 responden di seluruh 28 DUN, selain 40 peserta perbincangan kumpulan berfokus dan 22 informan temu bual mendalam, dengan margin ralat 3.45 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.