Ringkasan AI
- Lebih separuh rakyat Korea Selatan berusia 30-an masih belum berkahwin, meningkat hampir empat kali ganda dalam 25 tahun lalu.
- Perubahan sikap masyarakat menyebabkan perkahwinan kini dianggap pilihan, bukan keperluan, menurut data Kementerian Data dan Statistik Korea Selatan.
- Hanya 35.4 peratus responden berusia 19 hingga 49 tahun merancang atau berhasrat untuk mempunyai anak.
SEOUL: Lebih separuh daripada rakyat Korea Selatan yang berusia dalam lingkungan 30-an masih belum berkahwin, dengan kadar itu meningkat hampir empat kali ganda dalam tempoh 25 tahun lepas apabila perkahwinan semakin dianggap sebagai satu pilihan dan bukannya keperluan, lapor Xinhua yang memetik data kementerian statistik pada Selasa.
Daripada keseluruhan 44.58 juta penduduk berusia 15 tahun dan ke atas, seramai 24.36 juta atau 54.7 peratus mempunyai pasangan setakat 1 Nov 2025, menurut tinjauan sampel Banci Penduduk dan Perumahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Data dan Statistik.
Peratusan penduduk yang mempunyai pasangan itu menurun sebanyak 1.3 mata peratusan berbanding lima tahun sebelumnya, manakala peratusan penduduk yang belum berkahwin kekal pada 31.3 peratus atau 13.88 juta orang.
Dalam kalangan penduduk yang berusia dalam lingkungan 30-an, kadar individu bujang pada 2025 ialah 53.1 peratus, meningkat daripada 42.5 peratus yang dicatatkan pada 2020 dan hampir empat kali ganda berbanding 13.4 peratus pada 2000.
Mengikut jantina, 61.1 peratus lelaki dalam lingkungan usia 30-an belum berkahwin pada 2025, lebih tiga kali ganda berbanding 19.2 peratus yang direkodkan 25 tahun lepas, manakala kadar wanita yang belum berkahwin dalam kumpulan umur sama melonjak daripada 7.5 peratus kepada 44.3 peratus dalam tempoh yang sama.
Lonjakan kadar individu yang belum berkahwin dalam lingkungan usia 30-an itu dipengaruhi oleh perubahan sikap masyarakat yang semakin menganggap perkahwinan sebagai satu pilihan dan bukannya kewajipan.
Tinjauan yang dijalankan setiap lima tahun melibatkan sampel 20 peratus isi rumah di seluruh negara itu menilai sikap terhadap perkahwinan dan kelahiran anak pada masa hadapan.
Daripada 11.93 juta individu dewasa berusia 19 tahun dan ke atas yang belum berkahwin, 57.8 peratus menyatakan mereka merancang atau berhasrat untuk berkahwin, dengan peratusan lelaki yang berhasrat untuk berkahwin lebih tinggi, iaitu 60.4 peratus berbanding 54.4 peratus bagi wanita.
Sementara itu, hanya 35.4 peratus responden berusia antara 19 hingga 49 tahun menyatakan mereka merancang atau berhasrat untuk mempunyai anak.
-- BERNAMA-XINHUA