Skip to main content
Advertisement

Dunia

Erdogan gesa reformasi UNSC, hapus hak veto

Turkey’s President Tayyip Erdogan speaks after a cabinet meeting in Ankara, Turkey, March 9, 2026. Mustafa Kamaci/Presidential Press Office/Handout via REUTERS
Erdogan berkata sistem perwakilan yang lebih berkesan, adil dan bertanggungjawab diperlukan serta menggesa penyertaan lebih luas dalam proses membuat keputusan global. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

ANKARA/WASHINGTON: Presiden Türkiye Recep Tayyip Erdogan menggesa reformasi menyeluruh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk menghapuskan hak veto yang dimiliki anggota tetap, dengan menegaskan bahawa sistem antarabangsa perlu mencerminkan realiti global semasa dengan lebih baik, lapor Anadolu Ajansi memetik Bloomberg.

Dalam artikel untuk Bloomberg bertajuk The Quest for Global Justice in a Changing World, Erdogan berkata krisis mutakhir termasuk pandemik, kejutan tenaga, gangguan rantaian bekalan dan konflik serantau menunjukkan keterbatasan apabila penyelesaian terhadap cabaran global bergantung kepada keputusan segelintir negara.

Beliau menegaskan bahawa mekanisme membuat keputusan global perlu disesuaikan dengan keadaan semasa, sambil berkata Majlis Keselamatan PBB masih mencerminkan struktur yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua.

Erdogan berkata sistem perwakilan yang lebih berkesan, adil dan bertanggungjawab diperlukan serta menggesa penyertaan lebih luas dalam proses membuat keputusan global.

Seruan Türkiye bahawa “dunia lebih besar daripada lima” perlu difahami sebagai gesaan supaya tanggungjawab dalam sistem antarabangsa diagihkan dengan lebih meluas, katanya.

Erdogan sejak sekian lama menggesa reformasi PBB dan sering menggunakan slogan “dunia lebih besar daripada lima”, merujuk kepada komposisi Majlis Keselamatan yang dianggap tidak mewakili secara menyeluruh.

Majlis itu sejak sekian lama berdepan kritikan bahawa lima anggota tetap yang mempunyai kuasa veto iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Perancis, Rusia dan China memiliki pengaruh yang tidak seimbang.

“Keperluan untuk reformasi mesti diterjemahkan kepada pelan hala tuju yang konkrit.

“Penghapusan hak veto perlu menjadi teras kepada pelan hala tuju itu,” kata Erdogan.

Beliau berhujah bahawa penambahan anggota tetap baharu semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah pemusatan kuasa membuat keputusan di tangan sebilangan kecil negara.

Menurut Erdogan, reformasi sebaliknya perlu berasaskan prinsip bahawa tiada negara seharusnya mempunyai kuasa kekal untuk menyekat kehendak majoriti masyarakat antarabangsa.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement