EU buka laluan perjanjian perdagangan bebas dengan empat negara Amerika Selatan

Menurut Suruhanjaya Eropah, zon perdagangan bebas baharu itu (Amerika Selatan), dengan lebih 700 juta penduduk, akan menjadi yang terbesar seumpamanya di dunia. - Gambar fail Reuters
BRUSSELS: Majoriti negara Kesatuan Eropah (EU) memberi lampu hijau untuk menandatangani perjanjian perdagangan bebas Mercosur dengan Brazil, Argentina, Uruguay dan Paraguay, menurut sumber kepada dpa pada Jumaat.
Dalam mesyuarat melibatkan wakil daripada 27 negara EU di Brussels, bilangan peserta yang mencukupi bersetuju dengan rancangan untuk menandatangani perjanjian tersebut, menurut para diplomat.
Menurut Suruhanjaya Eropah, zon perdagangan bebas baharu itu, dengan lebih 700 juta penduduk, akan menjadi yang terbesar seumpamanya di dunia.
Persetujuan mengenai perjanjian kontroversi itu dimungkinkan oleh konsesi tambahan kepada kumpulan lobi pertanian, yang melihat persaingan daripada empat negara berkenaan - ahli blok perdagangan Amerika Selatan yang lebih luas iaitu Mercosur - sebagai ancaman kepada petani Eropah.
Di Amerika Selatan, produk pertanian seperti daging lembu boleh dihasilkan pada kos lebih rendah berbanding di Eropah.
Perjanjian itu pada asalnya dijadualkan ditandatangani di Brazil pada Disember.
Namun, majoriti negara anggota EU yang diperlukan tidak diperoleh pada ketika itu kerana Itali mengaitkan persetujuannya dengan komitmen sokongan tambahan untuk petani Eropah.
Untuk meluluskan perjanjian itu, ia memerlukan apa yang dipanggil majoriti berkualiti, iaitu sekurang-kurangnya 15 daripada 27 negara EU yang mewakili 65 peratus populasi blok tersebut mesti menyokongnya.
Persetujuan Itali diperlukan kerana dua lagi negara EU berpenduduk besar, Perancis dan Poland, menentang perjanjian itu mengikut draf perjanjian sekarang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


