Skip to main content

Politik

Zahid terima surat rayuan KJ, peluang kembali ke UMNO semakin cerah

Sumber: Zahid Hamidi
Zahid terima surat rayuan Khairy untuk kembali ke UMNO, harap Rumah Bangsa dapat kembalikan parti itu sebagai induk politik orang Melayu

KUALA LUMPUR: Peluang untuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, yang dipecat sejak 2023 kembali semula ke pangkuan parti itu semakin cerah.

Perkara itu dikongsikan oleh Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, apabila Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, menyerahkan surat rayuan terus kepadanya pada Ahad.

Advertisement

“Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.

“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.

“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya dalam satu perkongsian di media sosial pada Isnin.

 

 

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting untuk parti ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan sesama mereka.

“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” katanya lagi.

Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023, bersama beberapa pemimpin lain, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khairy yang merupakan bekas Ahli Parlimen Rembau, dikenali sebagai antara pemimpin muda UMNO yang lantang mengkritik kepimpinan parti serta menggesa reformasi dalaman, termasuk isu kepimpinan tertinggi UMNO selepas PRU15.

Sejak pemecatannya, Khairy aktif di luar parti, termasuk sebagai penganalisis politik dan pengacara podcast, namun sering dikaitkan dengan spekulasi kemungkinan kembali ke UMNO atau menyertai semula arena politik arus perdana.

Langkah menerima rayuan Khairy ini dilihat sebagai isyarat keterbukaan kepimpinan UMNO untuk menyatukan semula barisan parti, khususnya dalam usaha mengukuhkan kedudukan UMNO dalam landskap politik pasca-PRU15.

Must Watch Video