LUXEMBOURG: Menteri Dalam Negeri Kesatuan Eropah (EU) memberikan kelulusan akhir kepada undang-undang baharu yang bertujuan meningkatkan pengusiran migran, di tengah-tengah desakan untuk langkah lebih tegas susulan kemasukan beramai-ramai migran ke Ceuta, wilayah Sepanyol, pada akhir Julai, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Undang-undang yang diluluskan pada Khamis itu menyediakan asas perundangan untuk menubuhkan pusat pengusiran yang kontroversi di luar EU bagi migran yang diwajibkan meninggalkan blok itu secara sah tetapi tidak dapat dihantar pulang ke negara asal mereka.
Ia turut memperkenalkan kewajipan baharu serta kemungkinan dikenakan penalti terhadap pemohon suaka yang permohonannya ditolak, selain memperluas kemungkinan menahan individu yang dianggap menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara sementara menunggu pengusiran mereka.
Menteri Dalam Negeri EU yang berkumpul di Luxembourg turut membincangkan kesan susulan kemasukan beramai-ramai di sempadan pada akhir Julai, apabila kira-kira 72,000 migran tiba di Ceuta dalam tempoh beberapa hari, mencetuskan krisis diplomatik dan saling tuduh menuduh antara negara anggota EU.
Pada September, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen mengumumkan rangka kerja tindak balas krisis Eropah yang baharu, yang membolehkan pelencongan sementara daripada peraturan suaka apabila pergerakan migrasi sengaja diatur dan digunakan untuk menekan EU.
Butiran cadangan itu masih belum dibentangkan, namun beberapa menteri EU menggesa supaya sekatan tambahan diperkenalkan.
Menteri Dalam Negeri Jerman Alexander Dobrindt, menyokong idea memperkenalkan peraturan suaka khas ketika krisis. Beliau berkata mungkin terdapat keadaan tertentu yang tidak memerlukan prosedur suaka standard dilaksanakan.
--BERNAMA-dpa