JEDDAH: Penganjur Formula One (F1) mengesahkan penganjuran Grand Prix Arab Saudi hujung minggu ini akan diteruskan.

Perlumbaan berprofil tinggi itu akan berjalan mengikut jadual walaupun di sebalik kebimbangan pemandu susulan serangan peluru berpandu ke atas fasiliti minyak berhampiran pada petang Jumaat, lapor ESPN.

Perbincangan antara pemandu, ketua pasukan dan eksekutif F1 berhubung faktor keselamatan acara dilapor telah berlangsung hingga jam 2 pagi pada Sabtu.

Keputusan meneruskan perlumbaan disampaikan ketua setiap pasukan selepas pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali.

Kalangan pemandu F1 menyuarakan kebimbangan akan keselamatan sepanjang perlumbaan itu selepas depot minyak Aramco yang terletak 10 kilometer di timur litar diserang peluru berpandu pada petang Jumaat.

Jurucakap tentera Houthi mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di fasiliti yang dimiliki oleh penaja F1 Aramco semalam.

Fasiliti itu masih terbakar pada petang Jumaat, dengan kepulan asap hitam dapat dilihat dari trek sehingga matahari terbenam.

Pihak berkuasa Arab Saudi walau bagaimanapun mengesahkan tiada kemalangan jiwa akibat daripada serangan itu.