CARDIFF: Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) menjadi persatuan bola sepak kebangsaan pertama yang secara terbuka menarik balik sokongan terhadap pencalonan semula Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, bagi penggal 2027 hingga 2031.
Keputusan itu dibuat susulan kehilangan keyakinan terhadap kepimpinan Infantino selepas kontroversi berkaitan cadangan menjual pegangan dalam entiti komersial yang berkaitan dengan Piala Dunia kepada pelabur swasta, lapor BBC.
Dalam kenyataan rasmi, FAW memaklumkan pihaknya telah menghantar notis bertulis kepada FIFA bagi membatalkan sokongan terhadap pencalonan semula Infantino demi memelihara integriti dan kepentingan bola sepak.
Langkah Wales itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap Presiden FIFA berkenaan, dengan beberapa persatuan bola sepak Eropah turut mempertimbangkan pendirian masing-masing berhubung kepimpinan badan induk dunia itu.
Sebelum ini, UEFA antara organisasi yang lantang mengkritik cadangan pelaburan tersebut dan menyuarakan kebimbangan terhadap tadbir urus serta proses membuat keputusan FIFA.
Setakat ini, FIFA belum mengeluarkan maklum balas rasmi terhadap tindakan FAW menarik balik sokongan terhadap pencalonan semula Infantino.