WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyita sejumlah laman web yang dipercayai digunakan oleh ejen China bagi merekrut bekas dan semasa pegawai Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai akses kepada maklumat keselamatan.
Menurut afidavit FBI berhubung rampasan tersebut, beberapa individu yang tidak dinamakan menggunakan laman web berkenaan sebagai “syarikat perunding palsu” untuk menarik individu di AS mendapatkan maklumat sensitif dan berkemungkinan sulit sebagai balasan bayaran.
Laman-laman berkenaan didakwa menawarkan jawatan seperti “Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa (Jarak Jauh)”, penganalisis pertahanan, “Pekerjaan untuk Bekas Anggota Tentera” serta pelbagai jawatan perundingan umum.
Afidavit itu menyenaraikan tujuh individu yang turut tidak dinamakan, yang direkrut melalui laman tersebut.
Mereka dikatakan diminta menghasilkan kertas kajian mengenai pelbagai topik termasuk hubungan China-AS, Iran serta perang Israel-Palestin, selain didesak memberikan maklumat dalaman atau eksklusif.
FBI percaya individu yang mengendalikan skim berkenaan, semuanya berpangkalan di luar negara, bertindak “secara sedar atau tidak sedar” bagi pihak kerajaan China.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Jabatan Kehakiman AS memaklumkan, pihak yang mengendalikan laman web tersebut menafikan sebarang penglibatan kerajaan asing.
Pembayaran bagi laman web berkenaan dibuat melalui mata wang kripto dan bank luar negara.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada sebarang maklumat sulit berjaya diperoleh menerusi skim itu.
“Para konspirator juga membuat pembayaran kepada individu yang direkrut melalui akaun di AS, walaupun dana tersebut berasal dari akaun luar negara,” menurut afidavit tersebut.
FBI berkata, sindiket itu turut menggunakan kecurian identiti, imej serta video janaan kecerdasan buatan (AI), selain menawarkan bayaran lumayan bagi laporan penyelidikan sebagai taktik untuk mendapatkan akses kepada maklumat sensitif.
Tahun lalu, satu laporan oleh Perkhidmatan Siasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS) mendakwa, pelaku asing cuba merekrut kakitangan persekutuan dengan memanfaatkan pelan pemberhentian besar-besaran dalam pentadbiran bekas Presiden Donald Trump.
Dokumen NCIS itu turut menyatakan, sekurang-kurangnya seorang pegawai perisikan asing mengarahkan seorang ejen mewujudkan profil syarikat di LinkedIn, menyiarkan tawaran kerja serta secara aktif menyasarkan kakitangan persekutuan yang menunjukkan status “terbuka untuk pekerjaan.”
Menurut FBI, individu sasaran direkrut melalui iklan pekerjaan berkaitan topik yang menjadi kepentingan kerajaan China di platform pencarian kerja seperti LinkedIn, Upwork dan laman seumpamanya.
Afidavit turut mendedahkan konspirator menyalin maklumat serta gambar daripada syarikat sebenar di luar negara untuk digunakan di laman web penipuan tersebut.
Malah, salah satu laman berkenaan didakwa memaparkan testimoni palsu daripada watak fiksyen filem komedi Anchorman, termasuk watak Ron Burgundy lakonan Will Ferrell dan Brick Tamland lakonan Steve Carell. - Agensi