KUALA LUMPUR: Sekretariat Suara Wanita Nasional (SWN) menganggap Datuk Seri Rafizi Ramli belum mendapat seruan untuk bertaubat daripada politik dendam, kebencian dan masih menganggap bahawa beliau serba betul dalam catatan terbaharu pemimpin Bersama itu di media sosialnya.
Pengerusi SWN, Mazween Mokhtar berkata, malangnya masih ada segelintir pihak yang terpengaruh dengan hujah-hujah beliau walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa perjuangan politik parti itu berteraskan dendam dan kebencian.
“Beliau hentam semua, hentam UMNO, DAP dan tentunya parti lama, PKR dengan pelbagai tuduhan serta hujah sambil menolak politik identiti yang dianggap sebagai pemula kepada skandal-skandal besar negara.
“Beliau kata hanya dirinya sahaja betul dan keputusan majoriti pengundi yang memenangkan gandingan Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) sebagai keputusan yang salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi pada Ahad mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang terus memberi sokongan dan membantu terutama pengundi-pengundi di Melaka yang menjadi “early believers” kepada satu platform politik masa depan negara.
Rafizi menyifatkan rata-rata ahli dan penyokong Bersama berlapang dada dan bersyukur dengan keputusan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana sedang menapak dengan lebih yakin serta lebih laju, berbanding parti dinosaur yang akan kehilangan rentak satu hari nanti.
Mengulas lanjut, Mazween berkata, pihaknya akan menggerakkan satu usaha untuk mendesak Rafizi agar membubarkan parti Kancil yang bukan sahaja kalah dalam semua PRN yang disertainya malah 15 daripada 16 calon turut hilang deposit pada PRN Melaka baru-baru ini.
“Jadi, kami sebagai merasa bertanggungjawab untuk menasihatkan dan menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan politik balas dendam dan penuh kebencian ini kerana ia tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada sesiapa jua,” jelasnya.