Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) pada Khamis mengeluarkan gambar dan video dua suspek lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian pengeboman semasa acara larian Boston Marathon, selain meminta orang ramai membantu mengenal pasti mereka.

Gambar dan video suspek dikeluarkan selepas beberapa jam Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berjanji kepada warga Boston bahawa mereka yang bertanggungjawab atas kejadian yang membunuh tiga orang dan mencederakan lebih 180 orang, akan diburu dan dibawa ke muka pengadilan.

"Penyiasat turut memaklumkan bahawa kedua-dua lelaki tersebut bersenjata dan sangat berbahaya,” kata Rick DesLauriers, Ketua FBI di Boston.

Laman sesawang FBI, www.fbi.gov turut tergendala beberapa minit selepas gambar dan rakaman video tersebut disiarkan.

Menurut FBI, mereka masih belum mempunyai maklumat terperinci mengenai dua lelaki tersebut yang hanya dinamakan sebagai Suspek Pertama dan Suspek Kedua.

Kedua-dua mereka kelihatan seperti golongan muda, seorang memakai topi besbol warna putih dan seorang lagi memakai topi hitam.