SAN FRANCISCO: Reddit mengumumkan rancangan untuk menguji model akses yang memerlukan pengguna log masuk bagi melihat sebahagian kandungan di platform forum itu, lapor Amanz.
Langkah berkenaan akan dilaksanakan secara percubaan melibatkan pengguna di beberapa pasaran terpilih di luar Amerika Syarikat pada suku keempat tahun ini. Sebarang peluasan ke pasaran lain akan bergantung kepada hasil ujian tersebut.
Menurut Reddit, perubahan itu dibuat ketika syarikat berdepan cabaran akibat perubahan landskap carian dalam talian, termasuk pengenalan ciri ringkasan kecerdasan buatan (AI) yang mengurangkan trafik rujukan dari enjin carian ke platform berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Reddit, Steve Huffman, berkata langkah itu juga bertujuan melindungi himpunan data dan kandungan platform daripada digunakan oleh pihak ketiga tanpa kebenaran bagi tujuan melatih model bahasa raya (LLM).
Beliau berkata pendekatan itu dijangka membantu memperkukuh perniagaan pengiklanan digital Reddit menerusi data pengguna yang lebih lengkap dan tepat.
Menurutnya, pengguna yang log masuk lazimnya menunjukkan tahap penglibatan komuniti yang lebih tinggi berbanding pelawat biasa.