NEW YORK: Mayat manusia ditemukan di dalam mulut aligator sepanjang 13 kaki, 8.5 inci, di terusan di Taman Botani Florida di Largo, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Aligator itu dikeluarkan dari air dan telah "dibunuh", menurut kenyataan Pejabat Syerif Daerah Pinellas.

Setakat ini, tiada butiran berhubung identiti mangsa kerana siasatan masih dijalankan.

Kejadian berkenaan dimaklumkan oleh seorang penduduk tempatan, Jamarcus Bullard, yang kebetulan melalui kawasan itu.

"Saya membaling batu ke arah aligator itu untuk memastikan ia benar-benar aligator dan kelihatan haiwan itu sedang menarik sekujur tubuh manusia ke dalam air," kata Bullard kepada stesen TV Tampa. WFLA-TV.

"Saya tidak akan pernah bermimpi bahawa seekor buaya akan berada di kawasan ini," kata seorang lagi penduduk, Terri Williams.

Secara statistik, serangan buaya agak jarang berlaku dan hanya terdapat dua laporan serangan maut di Florida setakat tahun ini.

Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menunjukkan hanya 10 serangan aligator berlaku di tenggara AS antara 1999 dan 2019.

-- BERNAMA