ISTANBUL: Kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia menggesa kerajaan untuk membantu memudahkan misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, gabungan ini menyeru Kerajaan Malaysia bagi menyokong kerajaan Republik Guinea-Bissau untuk memberi kebenaran menggunakan benderanya untuk kapal Akdeniz (Mediterranean) yang didaftarkan di negara itu.

Ini kerana, sekiranya Kerajaan Malaysia dapat membantu dalam urusan tersebut, ia akan membolehkan urusan penghantaran bantuan kepada penduduk di Gaza dapat disegerakan.

“Kami menyeru Kerajaan Malaysia untuk menyokong Republik Guinea-Bissau dalam memberi kebenaran menggunakan bendera mereka pada kapal Akdeniz (Mediterranean).

“Ini kerana kami menerima laporan bahawa wujud gesaan daripada kerajaan Israel yang meminta Republik Guinea-Bissau untuk menarik balik kebenaran menggunakan bendera mereka pada kapal penumpang tersebut.

“Tekanan ini juga menyebabkan kerajaan Republik Guinea-Bissau mengarahkan satu pemeriksaan menyeluruh diadakan pada kapal Akdeniz (Mediterranean) yang sepatutnya sudah sedia belayar pada Jumaat,” katanya.

Selain itu, kenyataan sama turut berkata, sokongan yang diberikan Kerajaan Malaysia adalah selaras dengan dasar negara yang sentiasa menyokong perjuangan pembebasan Palestin.

“Kami yakin kerajaan Malaysia akan menyokong usaha mulia misi ini kerana ia selaras dengan dasar negara kita untuk menyokong perjuangan kebebasan, keadilan, dan kesamarataan bagi rakyat Palestin,” ujarnya lagi.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan, misi pelayaran Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza yang sepatutnya memulakan pelayaran hari ini (Jumaat) sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menerusi kenyataan Freedom Flotilla Coalition (FFC), hal ini berlaku disebabkan timbul kekacauan daripada rejim Israel yang terus menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terlibat dalam misi ini.

Kenyataan mendakwa pihak rejim sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea-Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz (Mediterranean).

Susulan tekanan itu, kerajaan Republik Guinea-Bissau pula bertindak mengarahkan agar satu pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal penumpang tersebut dijalankan.

Gesaan dibuat oleh sembilan NGO di Malaysia melibatkan BDS Malaysia, Rangkaian Sahabat Palestin, Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Pertubuhan IKRAM Malaysia, Pertubuhan Kembara Kesukarelawanan Malaysia (VTM), Pertubuhan IKRAM UK & Ireland, Gabungan Wanita Malaysia untuk Al-Quds dan Palestin (MWCQP), Rose2Rose Malaysia, dan Centhra Malaysia.