Skip to main content

Dunia

AS gagal capai semua objektif, kini terdesak untuk berunding - Iran

People drive past an anti-U.S. billboard depicting U.S. President Donald Trump and the Strait of Hormuz, in Tehran, Iran, May 2, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY
Mohebbi berkata Washington berusaha untuk mengubah sistem politik Iran dan memaksa negara itu menyerah kalah tanpa syarat, namun gagal mencapai kedua-dua objektif berkenaan. - Gambar/ Reuters
Advertisement

TEHRAN: Amerika Syarikat (AS) gagal mencapai semua objektif yang dinyatakannya dalam perang dengan Iran, hingga berada pada tahap terdesak dalam tempoh kurang 20 hari dan mula mencari orang tengah untuk berunding bagi menamatkan konflik itu, kata jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Brigedier Jeneral Hossein Mohebbi, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

Bercakap dalam satu wawancara pada Selasa, Mohebbi berkata objektif AS merosot dengan begitu pantas sehingga negara itu menjadi terdesak untuk mencapai matlamatnya, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.  

"Di Iran, selepas berperang kurang 20 hari, AS berada pada tahap terdesak dan mula mencari orang tengah untuk mengadakan rundingan serta menamatkan perang," katanya.

Mohebbi berkata Washington berusaha untuk mengubah sistem politik Iran dan memaksa negara itu menyerah kalah tanpa syarat, namun gagal mencapai kedua-dua objektif berkenaan.

Beliau berkata AS juga berusaha untuk merampas sumber dan telaga minyak Iran, menghapuskan keupayaan nuklear serta peluru berpandu negara itu, selain membahagikan sebahagian daripada wilayah negara itu dan menyerahkannya kepada pihak lain.

"Ini adalah antara objektif yang dinyatakan AS, manakala objektif yang tidak dinyatakan adalah perkara berasingan," kata jurucakap IRGC itu sambil menegaskan bahawa Washington akhirnya gagal mencapai kesemua objektif berkenaan.

Mohebbi berkata perkembangan itu perlu dijelaskan dan didokumentasikan dengan sewajarnya sambil menambah bahawa wartawan serta organisasi media mempunyai peranan penting dalam usaha berkenaan.

-- BERNAMA-IRNA

 

 

Must Watch Video

Advertisement