DUNIA
Gaza derita, Jordan untung? Temu bual eksklusif Agenda AWANI malam ini

Penderitaan rakyat Gaza tiada tolok banding, namun masyarakat sivil di seluruh dunia tidak pernah putus asa dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat di sana. - Sumber foto KHOM
REALITINYA amat perit. Lebih 61,000 orang telah terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat kekejaman berterusan Israel di Palestin, terutama Gaza sejak Oktober 2023.
Tidak cukup dengan pengeboman dari udara dan darat, selain tembakan bersasar dan rambang, kini kebuluran pula dijadikan senjata perang oleh rejim Zionis. Suasana di Gaza semakin hari semakin memeritkan.
Riak muka kosong namun sentiasa berkerut menahan kelaparan anak kecil yang kehilangan ibu bapa dan ahli keluarga, sudah menjadi pemandangan yang terlalu biasa. Tubuh-tubuh kecil itu setiap hari mempertaruhkan nyawa demi mencari sesuap makanan.
Berlatarbelakangkan kemusnahan total runtuhan bangunan yang menjadi saksi bisu genosid di Gaza, anak-anak ini bersama golongan dewasa bila-bila masa sahaja boleh syahid sementara menunggu bantuan - sama ada ditembak, dihempap bantuan udara malah mungkin kelemasan dalam keramaian.Begitulah gambarannya betapa nyawa menjadi taruhan, hatta untuk mendapat sebungkus tepung bagi mengisi perut yang kelaparan.
Di sebalik penderitaan yang tiada penghujung ini, Jordan menjadi antara negara yang menghulurkan bantuan kemanusiaan melalui udara dan darat. Namun, timbul pula dakwaan bahawa di sebalik misi ini, Jordan meraih keuntungan daripada penghantaran bantuan tersebut.
Dalam temu bual eksklusif bersama Setiausaha Agung Jordan Hashemite Charity Organization (JHCO), Dr Hussein Mohammad Al-Shebli, kami cuba memahami realiti pilu suasana di Gaza.
Kami akan mengupas, siapa yang bertanggungjawab dalam menjayakan misi kemanusiaan ini? Persoalan seterusnya, sejauh mana ketelusan berlaku dalam setiap misi kemanusiaan ke Gaza?
Apa naratif di media sosial dalam mencerminkan realiti sebenar di lapangan?
Ikuti penjelasan JHCO mengenai laluan untuk menyampaikan bantuan yang jarang diketahui umum, peranan Jordan, dan cabaran besar dalam memastikan bantuan sampai kepada rakyat Gaza yang memerlukan.
Saksikan temu bual penuh dalam Agenda AWANI di Saluran 501, Live TV di astroawani.com dan platform media sosial Astro AWANI jam 8.30 malam ini.
** Kru Astro AWANI, Pia Ernadya dan Nasruddin Samad kini berada di Jordan untuk misi kemanusiaan bersama Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM).

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami