Skip to main content

Dunia

Gaza masih berdepan ketidakpastian, penderitaan amat perit - Pegawai PBB

Palestinians inspect the damage after a person was hit by an Israeli strike while riding a bicycle, according to medics, in Gaza City, April 6, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Serangan udara dan operasi ketenteraan Israel terus dilaporkan berlaku di seluruh Gaza, mengakibatkan lebih banyak kematian. - Reuters
Advertisement

NEW YORK: Timbalan Penyelaras Khas untuk Proses Perdamaian Asia Barat merangkap Penyelaras Penduduk dan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ramiz Alakbarov menegaskan bahawa "Gaza masih berdepan ketidakpastian yang mendalam dan penderitaan manusia yang amat perit", lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Alakbarov menyampaikan taklimat itu kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang dianggotai 15 negara pada Isnin, bagi memberikan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan Resolusi 2334 berkaitan aktiviti penempatan haram di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Beliau turut menumpukan taklimatnya terhadap pelaksanaan Resolusi 2803 (2025). Menerusi resolusi itu, UNSC telah mengesahkan Pelan Perdamaian Komprehensif di Gaza yang diusahakan oleh Amerika Syarikat pada Oktober 2025, selain membenarkan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa.

"Keperluan, kebimbangan dan aspirasi sah penduduk Gaza mesti ditangani menerusi pelaksanaan penuh (resolusi berkenaan). Namun sebaliknya, situasi di Gaza dan Tebing Barat kekal tidak menentu," tegas Timbalan Penyelaras Khas itu.

Beliau berkata serangan udara dan operasi ketenteraan Israel terus dilaporkan berlaku di seluruh Gaza, mengakibatkan lebih banyak kematian dan menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban sejak gencatan senjata mencecah lebih 1,000 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa tentera Israel terus memperluas penguasaan wilayah mereka dan kini menguasai kira-kira 70 peratus daripada Semenanjung Gaza.

"Pencerobohan kawasan di bawah kawalan Israel ini mengecilkan ruang yang ada untuk orang awam. Penduduk Palestin di Gaza kini bertumpu di kawasan yang semakin terhad, hidup dalam keadaan tidak selamat serta dikelilingi keganasan," katanya.

Menyentuh mengenai gencatan senjata yang diumumkan lapan bulan lepas di Gaza, beliau berkata wilayah itu masih berdepan ketidakpastian yang mendalam dan kesengsaraan yang amat besar.

"Saya mengutuk pembunuhan dan kecederaan berterusan yang menimpa orang awam di Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak," katanya sambil menyatakan kebimbangan khusus terhadap peningkatan gesaan sejak kebelakangan ini untuk menyambung semula persengketaan yang meluas di Gaza.

Mengenai situasi di Tebing Barat yang dilaporkan terus merosot, Alakbarov berkata, aktiviti ketenteraan Israel masih berterusan di Jenin sehingga menyebabkan penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal, dan beliau menzahirkan kebimbangan mengenai peningkatan keganasan.

"Saya amat kesal dengan pelbagai insiden melibatkan pegawai yang mengagungkan keganasan serta terlibat dalam provokasi berbahaya, hasutan dan penggunaan bahasa yang membakar sentimen," katanya.

Beliau mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk mendirikan kemudahan ketenteraan di pekarangan premis Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat  (UNRWA) di Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur dan menggesa rejim itu membatalkan keputusan berkenaan.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video

Advertisement