Skip to main content
Advertisement

Dunia

Gaza perlukan AS$71.4 bilion untuk dibangunkan semula dalam tempoh sedekad

Egyptian teams were searching for the bodies of hostages that still remain in the Gaza Strip on Tuesday as excavators were seen digging through sand in an effort to find some of the remains.
Proses pembinaan semula Gaza selepas bertahun-tahun dilanda peperangan dianggarkan memerlukan AS$71.4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang dipimpin Amerika Syarikat. - Gambar hiasan/ AP
Advertisement

NEW YORK: Proses pembinaan semula Gaza selepas bertahun-tahun dilanda peperangan dianggarkan memerlukan AS$71.4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, menurut Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang dipimpin Amerika Syarikat (AS).

Anggaran itu diumumkan pada Rabu di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dan jauh lebih tinggi berbanding anggaran AS$4 hingga AS$6 bilion yang pernah dikemukakan PBB bagi membina semula Gaza selepas konflik selama 50 hari pada 2014.

Dalam sesi taklimat peringkat tinggi yang turut menampilkan Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner, lembaga tersebut membentangkan pelan pemulihan Gaza bagi enam bulan pertama pascakonflik.

Pelan itu merangkumi 66 program utama termasuk penyediaan tempat perlindungan kemanusiaan, bekalan penjana diesel serta pembinaan semula hospital dan kemudahan awam yang musnah akibat peperangan.

Bagaimanapun, pihak lembaga mengakui pelaksanaan pelan tersebut hanya boleh dimulakan apabila dana mencukupi diperoleh dan akses ke wilayah berkenaan dibenarkan.

Setakat ini, sumber pembiayaan bagi program-program yang dicadangkan masih belum jelas.

Pada masa sama, Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza, iaitu badan teknokrat yang dijangka mentadbir wilayah itu, masih belum memasuki Gaza dan hanya beroperasi dari Kaherah, Mesir, tanpa kuasa pentadbiran yang signifikan di kawasan yang sepatutnya diuruskan.

Dalam kenyataan susulan selepas taklimat berkenaan, Lembaga Keamanan menegaskan, usaha pemulihan itu akan dipimpin sendiri oleh rakyat Palestin.

“Kami tetap berpegang kepada prinsip pemilikan Palestin, perlindungan hak rakyat, kesatuan wilayah, penglibatan semua komuniti, ketelusan dalam setiap proses serta keupayaan menyesuaikan diri dengan keperluan yang sentiasa berubah,” menurut kenyataan itu.

Namun, hampir 11 bulan selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelan gencatan senjata 20 perkara bagi Gaza, usaha tersebut masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

Kebuntuan berterusan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan pelan pemulihan berkenaan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat, terutama dalam aspek pendanaan, pentadbiran dan akses ke Gaza yang masih berdepan pelbagai cabaran di lapangan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement