KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri, melalui Konsulat Malaysia di New York, mengesahkan satu kejadian gempa bumi dengan magnitud 4.8 melanda berhampiran Stesen Whitehouse, New Jersey, kira-kira jam 10:20 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan Wisma Putra, gegaran dirasai di seluruh kawasan Tri-State (New York, New Jersey, Connecticut), dan sejauh utara Massachusetts.

“Walaupun tiada laporan kerosakan besar atau kecederaan dilaporkan, pihak berkuasa masih menilai keadaan dan situasi semasa.

“Notis pemberhentian darat telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan di lapangan terbang utama. Pihak berkuasa tempatan juga telah menggantungkan beberapa perkhidmatan pengangkutan awam buat sementara waktu,” jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Konsulat Malaysia di New York sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan berhati-hati, dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut dinasihatkan untuk menghubungi Konsulat Malaysia di New York,” jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian gempa bumi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.