JAKARTA: Angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores di Indonesia awal pagi Sabtu meningkat kepada 51 orang, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus giat dijalankan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka itu akan terus meningkat susulan banyak lagi kawasan terjejas tidak dapat dimasuki oleh pasukan SAR disebabkan kemusnahan yang teruk termasuk putus akses jalan raya.
Selain angka korban, pihak berkuasa turut merekodkan 36 mangsa mengalami kecederaan serius manakala 77 lagi cedera ringan, lapor Al Jazeera.
Gempa itu berlaku pada 5.58 pagi waktu tempatan Sabtu dengan pusat gempa terletak kira-kira 68 kilometer di utara-barat laut bandar Ende di Pulau Flores, wilayah Nusa Tenggara Timur, pada kedalaman 10 kilometer.
Setakat ini, pihak berkuasa merekodkan sekurang-kurangnya 341 gegaran susulan selepas gempa utama berlaku, lapor Al Jazeera.
Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) memaklumkan lebih 3,300 penduduk di daerah Sikka, antara kawasan paling teruk terjejas, telah meninggalkan kediaman masing-masing atau terkandas dan ditempatkan di pusat perlindungan sementara.
Di bandar pelabuhan Maumere, ramai penduduk terpaksa berkhemah di luar rumah yang runtuh atau rosak, manakala sebahagian mangsa menerima rawatan di khemah kecemasan yang didirikan berhampiran hospital tempatan.
Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata sekurang-kurangnya 157 rumah musnah sepenuhnya manakala hampir 200 lagi mengalami kerosakan.
Keadaan itu memaksa kira-kira 2,000 penduduk di daerah Nagekeo berlindung di penempatan sementara.
Operasi menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran apabila beberapa jalan utama terputus akibat tanah runtuh selain gangguan komunikasi di kawasan berhampiran pusat gempa.
Pasukan penyelamat masih berusaha memasuki beberapa lokasi yang belum dapat diakses sepenuhnya.
Bagi mempercepatkan bantuan kecemasan, kerajaan Indonesia mengerahkan tiga helikopter, sebuah kapal penyelamat serta lebih 3,500 anggota tentera dan polis ke kawasan terjejas.
Selain itu, lebih 1,300 rumah dilaporkan rosak manakala 20 stesen minyak masih ditutup berikutan gangguan bekalan elektrik.
Amaran tsunami yang dikeluarkan sejurus selepas gempa berlaku telah ditarik balik, namun penduduk di kawasan pantai dan bangunan rosak dinasihatkan terus berwaspada berikutan risiko kejutan susulan yang dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Sementara itu, kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT), mengisytiharkan tindak balas kecemasan selama 14 hari susulan gempa bumi.
Gabenor Melki Laka Lena berkata langkah yang berkuat kuasa dari 15 hingga 28 Ogos itu bertujuan mempercepat usaha menangani kesan bencana, selain memudahkan akses, penyelarasan dan komunikasi antara agensi dalam menggerakkan sumber yang ada.
“Status tindak balas kecemasan ini bertujuan mempercepat usaha menangani kesan bencana, selain memudahkan akses, penyelarasan dan komunikasi antara semua pihak dalam menggerakkan semua sumber yang ada,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Ahad.
Dalam kenyataan berasingan, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata beberapa daerah yang terjejas turut mengisytiharkan langkah kecemasan sama.
Manggarai menetapkan tempoh tindak balas kecemasan selama 90 hari dari 15 Ogos hingga 13 Nov, selain menubuhkan pos kawalan bagi operasi tindak balas bencana.
Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana BNPB Berton Suar Pelita Panjaitan berkata Ngada pula menetapkan tempoh tindak balas kecemasan selama 30 hari.