Skip to main content

Politik

[TERKINI] DAP kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan

DAP UNDI_AWANI
Daripada 2,099 undi sah, sebanyak 1,857 undi menyokong usul, manakala 242 undi tidak menyokong. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Majoriti perwakilan DAP memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

Keputusan itu diumumkan Speaker Persidangan, Cha Kee Chin selepas proses pengundian pada Persidangan Kebangsaan DAP kali ke-60 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

“Daripada 2,099 undi sah, sebanyak 1,857 undi menyokong usul, manakala 242 undi tidak menyokong,” katanya ketika mengumumkan keputusan pengundian.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata keputusan itu memberi mandat kepada kepimpinan parti untuk meneruskan peranan dalam kerajaan dan melaksanakan agenda reformasi.

“Ini merupakan satu mandat kepada CEC (Jawatankuasa Tertinggi Pusat) dan kepada pemimpin-pemimpin yang mewakili parti dalam kerajaan untuk terus meneruskan kerja kita, untuk meneruskan agenda reformasi.

“(Ini) supaya kita dapat memberikan fokus dan tumpuan untuk melaksanakan perubahan-perubahan dan janji-janji yang telah pun kita janjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH),” katanya pada sidang media selepas persidangan itu.

Anthony berkata, antara reformasi yang mahu dilihat dilaksanakan termasuk pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.

Beliau menegaskan perkara itu bukan agenda DAP semata-mata, sebaliknya telah dipersetujui bersama dalam PH dan Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama, DAP akan membawa pandangan serta maklum balas perwakilan kepada kerajaan melalui saluran Kabinet, termasuk desakan supaya kerajaan lebih tegas dalam melaksanakan perubahan.

Anthony berkata parti itu akan memperincikan perkara berkenaan bersama Perdana Menteri dan Kabinet.

Must Watch Video

Advertisement