KUANTAN: Seorang anggota dan pegawai polis peronda ditahan kerana disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM14,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas beberapa pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Menurut sumber, anggota lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lagi pegawai polis peronda dari Januari hingga Julai 2026.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek,” kata sumber itu.
Lelaki itu kini direman lima hari hingga 20 Ogos selepas Majistret Ellyna Othman membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Sementara itu, pegawai polis peronda lelaki berusia lingkungan 30-an yang ditahan pada 11 Ogos sebelum ini disambung reman empat hari hingga 19 Ogos.
Perintah lanjutan reman tersebut dikeluarkan Majistret sama hari ini selepas permohonan reman pertama ke atas pegawai polis tersebut berakhir hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA