ISTANBUL: Pelakon Hollywood yang juga aktivis hak asasi manusia Angelina Jolie pada Sabtu merayu agar derma disalurkan kepada Turkiye dan Syria selepas gempa bumi dahsyat mengorbankan ribuan nyawa awal minggu ini.

"Hati saya tertuju kepada rakyat Syria dan Turkiye. Sukar merasai kesakitan yang tidak dapat dibayangkan dengan begitu banyak keluarga menderita ketika ini," menurut catatannya di Instagram, lapor Agensi Anadolu.

Pelakon itu berkata beliau menderma dan berharap "orang lain turut berbuat demikian," untuk membolehkan pasukan penyelamat "meneruskan kerja menyelamat mangsa gempa bumi."

Angelina turut berkongsi imej dari zon gempa bumi kedua-dua negara serta pautan derma.


Gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter itu menjejaskan lebih 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa.

Beberapa negara di rantau ini, termasuk Syria dan Lubnan turut merasa gegaran kuat yang melanda Turkiye dalam tempoh kurang 10 jam.

-- BERNAMA