ANKARA: Sekurang-kurangnya 3,500 orang terbunuh di Turkiye dan Syria  selepas dua gempa bumi terkuat di rantau itu dalam hampir satu abad.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), angka kematian disahkan di negara itu setakat ini ialah 2,316, manakala 13,293 lagi direkodkan sebagai cedera.

Di Syria, sekurang-kurangnya 1,293 mangsa dilapor terbunuh menakala 3,411 berjaya diselamatkan, menurut angka daripada kerajaan Damsyik dan pekerja penyelamat di wilayah barat laut yang dikawal puak pemberontak.

Angka kematian dijangka meningkat, dengan operasi mencari dan menyelamat dijalankan di seluruh wilayah setelah sekurang-kurangnya 5,606 bangunan runtuh dan dipercayai ramai orang terperangkap dalam runtuhan.

Lebih 10 pasukan mencari dan menyelamat dari Kesatuan Eropah telah digerakkan susulan gempa bumi yang melanda Turkiye, kata jurucakap Suruhanjaya Eropah.

Malaysia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Israel, Rusia dan China antara negara lain yang turut menawarkan bantuan.

Gempa pertama melanda ketika orang ramai sedang tidur.

Pada magnitud 7.8, ia antara gempa paling kuat di rantau ini dalam satu abad.

Gegaran turut dirasai sejauh Cyprus dan Kaherah.

Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) berkata, data awal menunjukkan gempa besar kedua berukuran 7.7 magnitud, dikesan pada kedudukan 67km timur laut Kahramanmaraş, Turkiye, pada kedalaman 2km.

Terdapat lebih daripada 100 gegaran susulan lebih kecil direkodkan ahli seismologi.

Pusat gempa pertama yang dikesan berhampiran Gaziantep telah merosakkan istana bersejarah yang telah digunakan sejak zaman Rom.

Loji kuasa nuklear Akkuyu, yang sedang dalam pembinaan, walau bagaimanapun tidak mengalami kerosakan, kata pegawai dari syarikat Rusia yang terlibat dalam pembinaan loji itu.

Pada tahun 1999, gegaran pada magnitud sama telah memusnahkan Izmit dan mengorbankan lebih 17,000 mangsa.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan menyifatkan Isnin sebagai bencana terburuk bagi negara itu sejak 1939, apabila gempa bumi mengorbankan lebih 32,000 orang dan mencederakan lebih 100,000.

Kemusnahan sebahagian istana era Rom di bandar Gaziantep di Turkiye telah menyebabkan kebimbangan bahawa dua gempa bumi yang melanda pada Isnin mungkin telah merosakkan monumen lain yang tidak ternilai di Turkiye dan Syria, kawasan yang kaya dengan warisan budaya.