Skip to main content

Dunia

Genap 1,000 hari konflik Gaza, lebih dua juta penduduk masih terjejas

Palestinians inspect the damage after a person was hit by an Israeli strike while riding a bicycle, according to medics, in Gaza City, April 6, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu, serangan Israel dilaporkan masih berlaku hampir setiap hari. -Gambar fail/Reuters
Advertisement

GAZA: Konflik di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-1,000 hari ini, dengan lebih dua juta rakyat Palestin terus berdepan masa depan yang tidak menentu susulan sekatan pergerakan, kemusnahan meluas dan usaha pembinaan semula yang masih terbantut.

Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu, serangan Israel dilaporkan masih berlaku hampir setiap hari.

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 73,000 rakyat Palestin terkorban sejak konflik bermula pada 7 Okt 2023.

Keadaan kemanusiaan di wilayah itu turut kekal kritikal apabila kebanyakan penduduk masih hidup dalam keadaan serba kekurangan, manakala proses pemulihan dan pembinaan semula belum menunjukkan kemajuan ketara.

Menurut laporan antarabangsa, Israel kini menguasai lebih separuh daripada wilayah Gaza dan menyatakan hasrat untuk mengekalkan kawalan ke atas sehingga 70 peratus kawasan berkenaan.

Pada masa sama, sekatan terhadap pergerakan keluar masuk dan kemasukan bantuan terus menjejaskan bekalan keperluan asas kepada penduduk.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa peluasan kawasan kawalan ketenteraan meningkatkan risiko terhadap orang awam, terutama di kawasan yang tidak mempunyai sempadan operasi yang jelas di lapangan.

Di Israel, peringatan hari ke-1,000 konflik itu disertai beberapa siri demonstrasi dan protes berhampiran bangunan Parlimen Israel (Knesset) di Baitulmaqdis.

Penunjuk perasaan menggesa siasatan terhadap kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan 7 Okt 2023 serta menuntut pertanggungjawaban politik.

Must Watch Video

Advertisement