KUALA LUMPUR: Persatuan Penyelam Skuba Malaysia (MSDA) mengingatkan pelancong supaya tidak mendesak perjalanan laut diteruskan semata-mata kerana telah membuat bayaran sekiranya keadaan cuaca atau jerebu boleh mengancam keselamatan sepanjang musim monsun.
Presiden MSDA Aminor Azmi Abdul Latip berkata pelancong perlu menghormati keputusan operator dan pengendali bot untuk menangguhkan atau membatalkan perjalanan atas faktor keselamatan kerana tindakan itu mencerminkan sikap profesional dan bertanggungjawab.
“Operator pula perlu memberikan penerangan yang jelas serta membincangkan penjadualan semula atau penyelesaian yang munasabah mengikut terma tempahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa operator pelancongan marin, khususnya di pulau-pulau Pantai Timur Semenanjung, mengutamakan keselamatan berbanding memenuhi tempahan terakhir sebelum penutupan bermusim serta menyesuaikan tarikh operasi dengan keadaan setempat dan arahan pihak berkuasa.
Operator juga perlu menyemak bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi kawasan berhampiran destinasi pulau serta menilai jarak penglihatan di laut kerana jerebu boleh menjejaskan kesihatan dan menyukarkan pengendali bot melihat bot lain serta peserta aktiviti di permukaan air.
Beliau berkata aktiviti perlu dihentikan sekiranya keadaan tidak selamat, manakala keputusan untuk berpatah balik atau berlindung di lokasi selamat perlu dibuat berdasarkan keadaan cuaca dan laut, jarak penglihatan, keadaan bot serta kemampuan kru.
Katanya, pemeriksaan bot perlu dilakukan sebelum setiap perjalanan bagi memastikan semua sistem berfungsi, bekalan bahan api termasuk simpanan kecemasan mencukupi serta peralatan komunikasi boleh digunakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada telefon bimbit.
Kelengkapan keselamatan juga perlu dipastikan mencukupi dan boleh digunakan, selain bot tidak membawa muatan berlebihan, kru bersedia menghadapi kecemasan dan peserta diberikan taklimat keselamatan manakala petugas pula perlu mengetahui butiran perjalanan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya bot lewat atau gagal dihubungi.
Aminor Azmi turut menasihati pelancong supaya memastikan tahap kesihatan masing-masing sesuai untuk melakukan aktiviti, membawa bekalan ubat peribadi mencukupi serta menyediakan maklumat mengenai ubat, alahan dan nombor hubungan kecemasan kepada operator.
MSDA juga menyeru agensi penyelamat memperkukuh kesiapsiagaan aset, anggota dan komunikasi, manakala sebarang kecemasan perlu segera dilaporkan dengan maklumat tepat mengenai lokasi, jumlah individu terlibat serta keadaan semasa bagi memudahkan penyelarasan bantuan.
Bagaimanapun, beliau berkata kesiapsiagaan pasukan penyelamat bukan alasan untuk meneruskan perjalanan berisiko kerana cuaca buruk boleh melambatkan bantuan, justeru keselamatan pelanggan, kru dan anggota penyelamat perlu sentiasa diutamakan.
-- BERNAMA