PERJANJIAN gencatan senjata di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kini berada di ambang keruntuhan selepas kedua-dua pihak saling melancarkan serangan balas ketenteraan di rantau Teluk, selain bertukar tuduhan melanggar memorandum persefahaman yang dimeterai sebelum ini.
Ketegangan terbaharu tercetus susulan tindakan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyerang kedudukan tentera AS di Asia Barat pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan udara oleh jet pejuang AS ke atas kemudahan peluru berpandu, dron dan pangkalan radar maritim milik Iran di selatan negara itu pada Jumaat.
Sebelum itu, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, menuduh Tehran melakukan pelanggaran yang tidak masuk akal terhadap perjanjian terbabit susulan serangan dron ke atas kapal kargo komersial berbendera Singapura, Ever Lovely, di Selat Hormuz pada Khamis.
Naib Presiden AS, JD Vance, memberi amaran bahawa sebarang tindakan agresif akan ditangani secara ketenteraan.
Beliau menegaskan pertikaian berhubung pelaksanaan memorandum persefahaman sepatutnya diselesaikan melalui saluran komunikasi.
“Keganasan akan dibalas dengan keganasan. Jika mereka mempunyai perbezaan pendapat mengenai pelaksanaan memorandum persefahaman, mereka boleh menghubungi kami,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Iran signed a ceasefire agreement. We have honored it. If they have disagreements about how the MOU is being applied, they can pick up the phone.
But violence will be met with violence. https://t.co/VWnBS1PWaV— JD Vance (@JDVance) June 26, 2026
Sementara itu, IRGC mempertahankan tindakan berkenaan dan menegaskan kawalan laluan di Selat Hormuz adalah hak Iran berdasarkan persepakatan terdahulu.
Menurut kenyataan rasmi yang disiarkan menerusi saluran Telegram media kerajaan, pihak itu turut memberi amaran tindak balas lebih besar akan dilancarkan sekiranya AS mengulangi pencerobohan.
Dalam pada itu, Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, menyelar tindakan Washington melancarkan serangan ketika rundingan damai masih berlangsung.
Beliau berkata langkah tersebut mencerminkan ketiadaan komitmen sebenar AS terhadap prinsip diplomasi.