Buat pertama kali dalam sejarah 100 tahun Maserati, mereka akhirnya menghasilkan sebuah SUV, dan dinamakan Levante. Setelah lama menunggu juga, pihak syarikat telah mengeluarkan gambar-gambar awal Levante ini sejurus sebelum pameran kereta Geneva berlangsung.

Terus terang kami suarakan, ia kelihatan hebat dan walaupun segmen SUV selalunya mempunyai rekaan yang bosan dan tidak unik, Maserati telah berjaya mencipta sesuatu yang menarik di sini. Persamaan dengan model-model sedan sport Maserati seperti Quattroporte dan GranTurismo masih kelihatan.

Gril hadapan mengekalkan identiti Maserati dan begitu juga dengan tiga liang udara yang jelas kelihatan di fender hadapan. Pintu tersebut tidak mempunyai bingkai manakala bahagian C-pillar pula dilekatkan dengan dengan logo syarikat.

Sebagai sebuah SUV daripada pembuat kereta sport, Levante direka untuk memberi prestasi terbaik tidak kira atas jalan raya atau jalan lasak. Ini ditambah lagi dengan keselesaan yang dibekal sistem gantungan elektronik bersama spring udara yang boleh dilaras pada beberapa tahap. Sistem pacuan semua roda dinamakan sebagai ‘Q4’. Kotak gear pula adalah jenis automatik lapan-kelajuan.

Maserati belum lagi menyenaraikan pilihan enjin bagi SUV ini selain ia merangkumi enjin petrol dan diesel yang menepati standard Euro6. Setakat ini, Maserati mempunyai beberapa enjin, dari 3.0-liter V6 hinggalah ke V8 berkapasiti 4,698cc.

Maserati Levante ini dipasang di kilang Mirafiori yang terletak di Turin, Itali. SUV ini akan dilancarkan secara rasmi pada musim bunga nanti bermula di Eropah sebelum menuju ke pasaran-pasaran lain.