LONDON: Putera George dan Puteri Charlotte antara 2,000 tetamu kehormat yang bakal menghadiri upacara pemakaman Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada Isnin.

George, 9 tahun dan Charlotte, 7 tahun akan bersama-sama Keluarga Diraja mengiringi keranda tatkala ia dibawa masuk ke dalam gereja itu.

Sebelum proses pemakaman itu, loceng akan dibunyikan setiap minit selam 96 minit, simbolik kepada usia Elizabeth ketika mangkat.

Di penghujung penghormatan terakhir itu, tiupan nafiri 'Last Post' akan berkumandang sebelum seluruh negara bertafakur selama dua minit.

Tatkala pemimpin dan kenamaan dunia berkumpul di Gereja 13th Century bagi penghormatan akhir itu, Raja Charles III serta Ratu Camilla akan mengetuai perarakan di belakang keranda Ratu.

Putera Wales, William dan isteri, Kate Middleton akan beriringan di hadapan anakanda mereka berdua diikuti Duke dan Duchess of Sussex dan anggota Diraja yang lain.

Bagaimanapun, adik bongsu mereka, Louis, 4 tahun difahamkan tidak akan menghadiri istiadat tersebut.

Perdana Menteri, Liz Truss akan menyampaikan ucapan, diikuti bacaan Bible oleh beberapa pemimpin agama seperti Roman Catholic Archbishop of Westminster, Cardinal Vincent Nichols dan Archbishop of Canterbury, Justin Welby.

Astro AWANI akan membawakan liputan istiadat pemakaman tersebut secara langsung di saluran 501 dan platform media sosial.