LONDON: Istiadat kemahkotaan Raja Britain Raja Charles III telah selamat berlangsung di Westminster Abbey London pada Sabtu jam 7 petang waktu Malaysia.

Istiadat yang dikendalikan oleh Ketua Uskup Agung Canterbury, Justin Welby itu turut disaksikan oleh jutaan orang di seluruh dunia.

Dalam istiadat berkenaan, Raja Charles III turut dipersembahkan dengan Pedang Berlian.

Ketua Uskup Canterbury menyebut agar menggunakannya untuk "melakukan keadilan, menghentikan pertumbuhan kejahatan, melindungi Gereja Suci dan semua orang yang berakhlak mulia".

Laungan "God Save the King" kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Raja Charles III oleh Ketua Uskup Welby.



Dalam pada itu, kumpulan Koir Greek berpadu suara bernyanyi sebagai tanda penghormatan kepada Raja Charles III.

Baginda duduk di Kerusi St Edward atau Kerusi Raja Edward, ia dipercayai menjadi perabot tertua di Britain yang masih utuh digunakan selepas 26 raja telah dimahkotakan di atasnya.

Istiadat kemahkotaan itu adalah yang pertama di Britain dalam tempoh 70 tahun, dan dilangsungkan lapan bulan selepas kematian ibundanya, Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah termasuk tetamu kenamaan antaranya David dan Victoria Beckham, pemuzik Lionel Richie, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dan Wanita Pertama AS Jill Biden turut hadir di Istiadat Pertabalan Raja Charles III.