KIEV: Kemunculan misteri seorang juruterbang jet pejuang MiG-29 yang mendapat julukan 'Ghost of Kiev' dan didakwa telah menembak beberapa pesawat milik Rusia pada hari pertama kempen serangan dilancarkan Moscow mencetuskan tanda tanya banyak pihak.

Rakaman video memaparkan aksi keberanian 'hero ruang angkasa Ukraine' itu turut menjadi tular di Twitter dan salah satu daripadanya mendapat sehingga hampir lima juta view.

SEMUA MENGENAI KRISIS RUSIA-UKRAINE DI SINI

Namun, ada pihak yang mempersoalkan ketulenan klip berkenaan dan mendakwa ia mungkin sebagai sebahagian daripada 'video propaganda macho' Kiev untuk menakut-nakutkan musuh mereka.

Siasatan dilakukan Reuters Fast Check terhadap video itu mendakwa ia adalah rakaman daripada permainan video, Digital Combat Simulator pada 2008.

Kiev bagaimanapun mendakwa juruterbang hebat yang identitinya tidak didedahkan itu benar-benar wujud dan telah menembak jatuh enam jet pejuang Rusia dalam tempoh 30 jam pertama dan sebanyak 10 lagi pesawat tentera milik musuh sehingga Sabtu lalu.

Menerusi rakaman berdurasi 38 saat yang dikongsi di akaun rasmi kerajaan Ukraine pada Ahad, ia memaklumkan hero tersebut digelar sebagai 'Ghost of Kiev' yang menguasai ruang udara ibu kota dan seluruh negara.

"Ia kini menjadi 'mimpi ngeri' kepada pesawat penceroboh Rusia," jelas klip itu lagi yang dimulakan dengan ilustrasi karikatur 'Ghost of Kiev' sebelum memaparkan rakaman jet milik Moscow yang ditembak jatuh.

Klip itu diakhiri dengan gambar seorang juruterbang di dalam kokpit sambil menunjukkan isyarat bagus yang merupakan foto sama dikongsi bekas presiden, Petro Poroshenko pada Jumaat lalu dengan kapsyen, "Dalam foto ini adalah juruterbang MiG-29 dan orang yang sama digelar sebagai Ghost of Kiev. Ia menakutkan musuh dan menjadi kebanggaan rakyat Ukraine.


Beliau sudah mencapai 'enam kemenangan' ke atas juruterang Rusia! Dengan pertahanan yang begitu kuat, Ukraine pasti menang!'.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.