HELSINKI: Google mengumumkan pelaburan bernilai €13 bilion (AS$15 bilion) di Finland untuk memperkukuh infrastruktur kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadi pelaburan tunggal terbesar syarikat itu di Eropah.
Gergasi teknologi Amerika Syarikat itu memaklumkan pelaburan berkenaan akan digunakan untuk membina tiga pusat data baharu, memperluas kemudahan sedia ada serta menyokong projek tenaga bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI.
Perdana Menteri Finland, Petteri Orpo, menyifatkan keputusan Google itu sebagai pengiktirafan terhadap kekuatan negara tersebut dalam pembangunan infrastruktur digital dan AI secara mampan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Google menandatangani kontrak selama 22 tahun dengan syarikat utiliti Finland, Fortum, untuk membeli sehingga 50 peratus tenaga yang dijana loji kuasa nuklear Loviisa.
Menurut Google, pelaburan itu dijangka mewujudkan lebih 37,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan serta menyumbang kira-kira €3.6 bilion setahun kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Finland. Projek pembinaan dijadualkan bermula pada 2027 dan 2028.
Finland semakin menjadi pilihan syarikat teknologi global untuk membangunkan pusat data berikutan iklimnya yang sejuk, bekalan elektrik rendah karbon yang banyak serta rangkaian tenaga yang kurang sesak.
Google akan membina pusat data baharu di Kajaani, Muhos dan Vaala, selain memperluaskan kemudahan sedia ada di Hamina.
Infrastruktur itu akan menyokong pelbagai produk dan perkhidmatan syarikat termasuk chatbot AI Gemini, enjin carian Google, Google Maps dan YouTube.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas TikTok turut mengumumkan pelaburan AS$1 bilion untuk membangunkan pusat data baharu di Finland, mencerminkan persaingan syarikat teknologi dalam mendapatkan sumber tenaga yang stabil bagi menyokong perkembangan AI.