BERLIN: Imej satelit di Selat Hormuz kini menunjukkan lima tumpahan minyak yang lebih besar, menurut penilaian yang dikeluarkan lewat Isnin oleh pertubuhan alam sekitar Greenpeace, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Greenpeace Jerman dalam satu kenyataan memaklumkan pencemaran itu telah sampai ke pantai Iran berhampiran kawasan perlindungan di sekitar Pulau Qeshm. Pulau itu antara lain mempunyai kawasan hutan bakau yang luas.
Menurut Greenpeace, satu daripada tumpahan minyak itu turut kelihatan di bahagian Oman di Selat Hormuz. Garis pinggir laut yang berceranggah di kawasan itu dianggap sebagai kawasan persinggahan burung yang penting.
Tumpahan minyak lain di rantau itu mungkin berpunca daripada kapal tangki Riesco. “Ini mungkin menunjukkan bahawa kapal berkenaan telah karam dan terus mengalami kebocoran minyak,” menurut Greenpeace, sambil menegaskan bahawa perkara itu sekadar satu kemungkinan senario.
Tentera Amerika Syarikat (AS) pada minggu lepas memaklumkan bahawa ia menyerang Riesco dan beberapa kapal tangki lain yang dikaitkan dengan Iran. Iran juga berulang kali menyerang beberapa kapal di rantau itu. Mengaitkan pencemaran berkenaan dengan serangan terhadap kapal tertentu di rantau itu selalunya sukar, antara lain disebabkan data transponder yang terhad.
Menurut Greenpeace, satu lagi tumpahan minyak turut merebak di sepanjang pantai selatan Oman. Kapal tangki Caroline Bezengi -- yang dikaitkan dengan apa yang dipanggil armada bayangan Rusia dan tertakluk kepada sekatan Kesatuan Eropah (EU) -- terkandas di kawasan itu.
“Pada 11 Sept, kawasan yang kelihatan dianggarkan seluas kira-kira 400 kilometer persegi dan pada 12 Sept kira-kira 600 kilometer persegi,” menurut Greenpeace yang memetik anggaran awal.
Punca tumpahan itu semakin meluas masih belum diketahui, namun antara kemungkinan penyebabnya ialah kerosakan lanjut pada kapal berkenaan serta perubahan keadaan cuaca dan laut.
-- BERNAMA-dpa