Skip to main content

Malaysia

Tiga lagi negara ASEAN mahu tangani bersama isu keselamatan kanak-kanak dalam talian - Fahmi

FAHMI: Rantau Asia Tenggara akan bergerak dalam hala tuju yang sama, kerana apabila kita bersatu, kita akan lebih kuat, terutama dalam mendepani platform-platform media sosial gergasi. - Gambar fail
FAHMI: Rantau Asia Tenggara akan bergerak dalam hala tuju yang sama, kerana apabila kita bersatu, kita akan lebih kuat, terutama dalam mendepani platform-platform media sosial gergasi. - Gambar fail

Advertisement

Advertisement

MELAKA: Thailand, Brunei dan Kemboja menjadi negara ASEAN terbaharu yang menyatakan hasrat untuk bergerak seiring dengan Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam usaha menangani isu keselamatan dalam talian melibatkan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau menyambut baik perkembangan berkenaan yang disifatkannya sebagai “ASEAN menuju ke arah yang sama”.

“Dalam pertemuan dengan rakan sejawat dari Indonesia dan Singapura, kita telah senada dalam hal ini, jadi sekarang lebih bagus, rantau Asia Tenggara akan bergerak dalam hala tuju yang sama, kerana apabila kita bersatu, kita akan lebih kuat, terutama dalam mendepani platform-platform media sosial gergasi. 

Advertisement

“Kita dapati langkah ini akan banyak membantu, terutamanya apabila platform melihat rantau ini sebagai satu keseluruhan pasaran. Maka, sekiranya keseluruhan atau majoriti pasaran di Asia Tenggara mula bercakap tentang perkara yang sama, langkah ini akan menjadi lebih mudah,” katanya. 

Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kempen Internet Selamat di Universiti Multimedia (MMU) Kampus Melaka di Bukit Beruang, di sini hari ini.

Advertisement

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata dalam usaha bersama menangani isu keselamatan kanak-kanak dalam talian, pihaknya turut mengambil pengajaran daripada cara pelaksanaan beberapa sekatan yang dikenakan di negara lain seperti Australia. 

“Kita juga mengambil tahu dan maklum tentang beberapa kes terbaharu di Amerika Syarikat, di New Mexico, dan hal ini sangat membantu untuk kita mengambil tindakan atau merancang langkah seterusnya,” katanya.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi pada peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura.

Berhubung dengan Kempen Internet Selamat, Fahmi berkata setakat ini, program itu sudah menjelajah ke seluruh sekolah di Malaysia dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperkasakan pengisian program dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement