Ringkasan AI
- Miyu Yamashita mempertahankan gelaran juara Kejohanan Golf Maybank 2026 dengan catatan keseluruhan 22 di bawah par 266 di KLGCC.
- Pemain Jepun itu menamatkan pusingan terakhir dengan empat di bawah par 68, dua pukulan di hadapan pemain China, Yan Liu.
- Marisa Tojai dari Thailand dan Pauline Roussin-Bouchard dari Perancis berkongsi tempat ketiga dengan catatan 19 di bawah par 269.
KUALA LUMPUR: Pemain Jepun Miyu Yamashita berjaya mempertahankan gelaran juara selepas mencatatkan empat di bawah par 68 pada pusingan terakhir Kejohanan Golf Maybank 2026 di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) di sini hari ini.
Pemain nombor empat dunia itu melakukan lima birdie di lubang ketiga, kelima, kelapan, ke-11 dan ke-18, manakala satu-satunya bogey dicatatkan di lubang kesembilan, sekali gus menamatkan kejohanan dengan keseluruhan 22 di bawah par 266 bagi empat pusingan, dua pukulan di hadapan pemain China Yan Liu.
Yamashita, yang memulakan pusingan terakhir dengan kelebihan dua pukulan, membuka saingan menerusi catatan tujuh di bawah par 65 pada Khamis, diikuti enam di bawah par 66 dan lima di bawah par 67 sebelum menutup saingan hari ini dengan catatan empat di bawah par 68 untuk meraih gelaran Kejohanan Golf Maybank buat kali kedua berturut-turut.
Yamashita, ketika ditemui pemberita selepas kemenangan itu berkata kejayaan mengekalkan tumpuan sepanjang pusingan terakhir membantunya mempamerkan satu lagi aksi cemerlang di KLGCC.
“Saya benar-benar gembira kerana berjaya memenangi gelaran ini dan sejujurnya, saya tidak menyangka mampu memenangi kejohanan ini dua tahun berturut-turut. Jadi, saya hanya menumpukan perhatian untuk bermain di setiap lubang,” katanya.
Sementara itu, Yan Liu menamatkan saingan di tempat kedua selepas mencatatkan empat di bawah par 68 pada pusingan terakhir untuk mengumpul keseluruhan 20 di bawah par 268 bagi empat pusingan.
Beliau, yang memulakan saingan dengan catatan tiga di bawah par 69 dan empat di bawah par 68, mempamerkan aksi cemerlang menerusi catatan sembilan di bawah par 63 pada pusingan ketiga semalam, sebelum menamatkan saingan hari ini dengan empat di bawah par 68.
Pemain amatur Thailand Marisa Tojai dan pemain Perancis Pauline Roussin-Bouchard berkongsi tempat ketiga selepas masing-masing mencatatkan keseluruhan 19 di bawah par 269 bagi empat pusingan.
Marisa, yang mencatatkan par 72 pada pusingan pertama serta lima di bawah par 67 pada pusingan kedua dan ketiga, menamatkan saingan hari ini dengan catatan lima di bawah par 67 manakala Roussin-Bouchard mencatatkan tiga di bawah par 69 pada pusingan terakhir selepas merekodkan lapan di bawah par 64, tiga di bawah par 69 dan lima di bawah par 67 pada pusingan terdahulu.
-- BERNAMA