Ringkasan AI
- Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh meminta Adly Zahari menilai rekod pentadbirannya sebelum mengkritik prestasi kerajaan negeri Barisan Nasional.
- Ab Rauf menolak asas analisis beberapa penganalisis politik yang meramalkan pertukaran kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Melaka.
- Kerajaan negeri akan terus fokus kepada rekod perkhidmatan dan usaha mendekati rakyat bagi meyakinkan pengundi menjelang hari pengundian 14 November.
TELOK MAS: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menggesa Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari supaya mencerminkan rekod pentadbirannya sendiri sebelum mempersoalkan prestasi kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Adly yang mempersoalkan rekod pentadbiran BN, khususnya berhubung isu kos sara hidup, bil air, perumahan mampu milik dan peluang pekerjaan yang terus dibangkitkan rakyat ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung.
“Saya tak tahu daripada sudut mana dia mendapatkan dapatan-dapatan tersebut, tapi saya tak nak ulas kerana beliau juga pernah jadi Ketua Menteri dan saya pun tak nak ulas masa dia jadi Ketua Menteri apa dia buat.
“Jadi, lebih baiklah kita cerminkan diri kita supaya kita tahu apa yang kita buat untuk rakyat. Saya ingat warga Melaka tahu apa yang kita buat, yang tak tahu (cuma) dia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka turut menyelar asas analisis beberapa penganalisis politik yang meramalkan kemungkinan beberapa kerusi DUN bakal bertukar tangan pada PRN kali ini.
Menurutnya, sebarang penilaian terhadap kekuatan parti perlu dibuat berdasarkan sudut pandang profesional dan bukannya dipengaruhi kecenderungan politik tertentu.
“Tafsiran yang dibuat oleh siapa juga penganalisis, kita tengok pada sudut pandang yang mana dan kalau mereka itu bukan daripada kalangan yang memihak kepada parti kita, tentunya dia akan memesongkan pandangan.
“Melainkan satu pandangan yang diambil daripada sudut profesional, boleh diukur tetapi tidak boleh diukur daripada kertas atau dapatan mereka (semata-mata),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada rekod perkhidmatan dan usaha mendekati rakyat bagi meyakinkan pengundi menjelang hari pengundian pada 14 November ini.