HONOLULU: Gunung berapi Kilauea di Hawaii kembali memuntahkan lava apabila episod terbaharu letusan di kawah Halemaʻumaʻu bermula pada Rabu, menurut Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii (HVO) milik Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Letusan itu bermula kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan dengan pancutan lava dari lubang letusan utara yang pada kemuncaknya mencapai ketinggian sekitar 950 kaki (290 meter) dari paras tanah.
USGS memaklumkan aliran lava setakat ini masih terhad di dalam kawah Halemaʻumaʻu di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii dan tidak mengancam kawasan penempatan berhampiran.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa abu gunung berapi, gas beracun serta serpihan halus yang ditiup angin berkemungkinan menjejaskan beberapa komuniti di sekitar kawasan berkenaan.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS turut mengeluarkan kenyataan khas cuaca susulan kemungkinan abu dan bahan gunung berapi dibawa angin ke kawasan berhampiran taman negara itu.
Penduduk dinasihatkan menutup tingkap rumah, mengambil langkah melindungi bekalan air tadahan hujan dan mengehadkan aktiviti luar jika mempunyai masalah pernafasan.
Kilauea merupakan antara gunung berapi paling aktif di dunia dan telah mengalami letusan berselang-seli di kawasan puncaknya sejak Disember 2024.
Episod terbaharu ini merupakan letusan ke-51 dalam siri aktiviti gunung berapi yang sedang berlangsung.