LA PALMA: Gunung berapi yang meletus di pulau La Palma di Sepanyol terus mengeluarkan batu lebur dan asap hitam pada Ahad.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberitahu tiada insiden yang melibatkan penduduk setempat ketika sebahagian kawah runtuh dan sungai lava mula muncul.

Lapangan Terbang La Palma juga telah beroperasi semula setelah ditutup pada Sabtu selepas landasan dipenuhi abu daripada gunung berapi itu.

Meskipun lapangan terbang itu dibuka kembali, tiada pesawat yang melakukan penerbangan.

Lima syarikat penerbangan telah membatalkan penerbangan harian mereka ke La Palma kerana awan dipenuhi abu gunung berapi yang berbahaya untuk enjin pesawat.

Gunung berapi di La Palma yang meletus pada 19 September lalu, merupakan sebahagian dari Kepulauan Canary yang menjadi penempatan kepada sekitar 85,000 penduduk.

Pemindahan segera lebih daripada 6,000 orang telah membantu mengelakkan korban.

Para saintis mengatakan letusan boleh berlarutan sehingga tiga bulan.