DUNIA
Gunung Kilaueia di Hawaii kembali meletus

Menurut USGS, pancutan lava semasa itu merupakan episod ke-31 letusan puncak Kilauea, yang bermula pada Disember lalu. - YouTube USGS
WASHINGTON: Gunung Kilauea di Hawaii kembali meletus, memuntahkan pancutan lava yang condong dari lohong utaranya sejauh kira-kira 300 meter, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lohong selatan gunung berapi itu juga meletus dengan aktiviti pada tahap lebih rendah, menurut USGS dalam satu hantaran di platform X. Pancutan lava yang mengalir ke satu sisi akibat halangan sementara dalam lohong berkenaan pernah diperhatikan sebelum ini di gunung berapi itu.
Menurut USGS, pancutan lava semasa itu merupakan episod ke-31 letusan puncak Kilauea, yang bermula pada Disember lalu. Ia dijangka berterusan selama 12 hingga 15 jam.
Sebahagian besar episod pancutan lava sejak 23 Disember berlangsung sehingga sehari, dengan selang masa beberapa hari di antaranya.USGS memberi amaran tentang risiko kesihatanakibat sulfur dioksida (SO2).
Kilauea ialah antara gunung berapi paling aktif di dunia. Gunung berapi setinggi 1,247 meter itu terletak di Hawaii, pulau terbesar dalam gugusan kepulauan Hawaii, yang juga dikenali sebagai Big Island.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami