Skip to main content

Malaysia

Anggota polis ditetak tidak lepaskan tembakan demi keselamatan orang awam

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin (berdiri, tengah) sewaktu menziarahi anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini. - Foto FB Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin (berdiri, tengah) sewaktu menziarahi anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini. - Foto FB Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal untuk tidak melepaskan tembakan ketika diserang seorang lelaki bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, Kepong pada 11 Nov, dibuat selepas mengambil kira risiko keselamatan orang awam di lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Noor Hisam Nordin berkata anggota berkenaan sebenarnya mempunyai hak untuk mempertahankan diri kerana berdepan ancaman yang boleh mengakibatkan kematian atau kecederaan parah.

Bagaimanapun, beliau berkata anggota itu bimbang tembakan yang dilepaskan mungkin terkena orang awam, termasuk akibat pantulan peluru atau serpihan peluru, sekali gus memburukkan keadaan ketika situasi masih tidak terkawal.

Advertisement

“Pergerakan luar jangka kadang-kadang menyebabkan perkara yang kita tidak sangka berlaku. Anggota itu mengambil kira keadaan persekitaran dan risiko kepada orang lain, sebelum membuat keputusan.

“Beliau juga beranggapan senjata api yang berada di tangannya mungkin dapat menghalang suspek daripada terus bertindak ganas, namun suspek tidak terintimidasi dan terus menyerang,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

Advertisement

Lawatan kebajikan itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid serta beberapa pegawai kanan polis.

Noor Hisham berkata anggota lelaki berusia 26 tahun itu, menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika berdepan situasi kecemasan.

Beliau berkata berdasarkan rakaman video kejadian, anggota itu masih mampu mengawal keadaan dan mengarahkan individu di sekelilingnya, mendapatkan perlindungan walaupun mengalami kecederaan serius.

Dalam kejadian pada 11 Nov lepas, anggota polis berkenaan diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang ketika menjalankan tugas di sebuah kediaman di Desa Aman Puri, Kepong, mengakibatkan pergelangan tangan kanannya putus selain mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Suspek kemudian melarikan diri, sebelum dikesan berhampiran sebuah taman permainan dan sekali lagi menyerang anggota polis yang cuba menahannya.

Polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri dan suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pada 12 Nov, pasukan pakar HKL berjaya menyambung semula pergelangan tangan kanan anggota itu menerusi pembedahan selama kira-kira lapan jam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement