Ringkasan AI
- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengesahkan De Norsemen Kclub International (DNKI) tidak berdaftar dengan jabatan tersebut.
- JPPM sedang menyiasat aktiviti DNKI susulan hantaran tular di media sosial dan akan bekerjasama dengan PDRM serta agensi berkaitan.
- Orang ramai dinasihatkan merujuk sumber rasmi untuk maklumat sahih dan semua pertubuhan mesti mematuhi undang-undang negara.
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan kelab komuniti Nigeria yang dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI) tidak berdaftar dengan jabatan berkenaan.
RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengesahan itu dibuat hasil semakan rekod, susulan hantaran tular di platform media sosial Threads baru-baru ini yang mempersoalkan status pendaftaran kumpulan terbabit.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan kini sedang menjalankan siasatan berhubung aktiviti yang dikaitkan dengan kumpulan tersebut.
"RoS akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi memastikan perkara ini disiasat secara menyeluruh.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang tertakluk pada peruntukan yang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, RoS turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti yang dijalankan oleh mana-mana pertubuhan di negara ini hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang negara.
Jabatan itu juga menasihati orang ramai supaya sentiasa merujuk pada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih sebelum mempercayai sebarang dakwaan di media sosial.
DNKI yang dipercayai dianggotai komuniti Nigeria di Malaysia telah mencetuskan pelbagai persoalan selepas beberapa gambar dan video perjumpaan kumpulan itu tular di media sosial.
Seorang pengguna Threads menerusi akaun kopiobserver berkongsi beberapa gambar dan rakaman video memaparkan sekumpulan lelaki memakai pakaian hitam, putih dan merah dengan lambang DNKI serta bendera Malaysia.
DNKI menerusi laman Facebook rasminya pula memperkenalkan mereka sebagai pertubuhan kemanusiaan global terkemuka yang berkhidmat untuk kemanusiaan, mempromosikan keamanan dan keadilan sosial, membela holongan rentan dan memberikan inspirasi kepada golongan lemah.
Difahamkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular berhubung pertubuhan berkenaan.
-- BERNAMA