NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menggesa komitmen politik diperkukuh bagi mempercepat dan menamatkan perjuangan global menentang HIV, ketika berucap pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung PBB mengenai HIV/AIDS, lapor Xinhua.
"Mesyuarat ini diadakan untuk mencari penyelesaian dan sekali lagi menghimpunkan iltizam politik bagi mempercepat serta menamatkan perjuangan global menentang HIV," menurut kenyataan Guterres yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Agung PBB Amina Mohammed pada sesi pleno pembukaan mesyuarat berkenaan.
Guterres berkata dalam tempoh 45 tahun sejak kes pertama AIDS dilaporkan, dunia menunjukkan ketabahan dan semangat solidariti yang luar biasa walaupun usaha itu bukan sesuatu yang mudah.
Menurut beliau, hasil komitmen politik kerajaan serta pelaburan rakan kerjasama global, jumlah kematian berkaitan AIDS telah menurun sebanyak 70 peratus berbanding kemuncaknya pada 2004 dan 54 peratus berbanding 2010.
Beliau berkata perkhidmatan pencegahan dan rawatan HIV turut membantu mengurangkan jangkitan baharu sebanyak 40 peratus sejak 2010, manakala lebih 32 juta individu yang hidup dengan HIV kini menerima terapi antiretroviral yang menyelamatkan nyawa.
Bagaimanapun, Guterres menegaskan bahawa ancaman AIDS masih belum berakhir apabila 9.2 juta orang yang memerlukan rawatan HIV masih tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan berkenaan pada penghujung 2024.
Beliau mengemukakan lima laluan yang disifatkan sebagai penting, iaitu merapatkan jurang akses kepada perkhidmatan pencegahan, rawatan dan penjagaan; memastikan kepimpinan komuniti dalam tindak balas terhadap HIV; melindungi hak asasi manusia; menjamin pembiayaan yang mencukupi; serta menghidupkan semula semangat multilateralisme yang menjadi pemacu usaha menangani HIV sejak awal.
"Tindak balas terhadap HIV telah membuktikan bahawa solidariti merentasi sempadan dan sektor mampu mengatasi ketakutan, ketidaksamaan dan ketidakadilan.
"Ia juga membuktikan bahawa institusi di peringkat global, serantau dan tempatan sama penting untuk menjayakan usaha bersama," katanya.
Beliau berkata mesyuarat itu merupakan peluang untuk membuktikan bahawa masyarakat antarabangsa masih mampu bersatu berlandaskan sains, maruah manusia, solidariti dan tanggungjawab bersama.
-- BERNAMA-XINHUA